USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPDK USM TERUS PEKA KEPADA PENJAGAAN ANAK KURANG UPAYA

pdk 1 edited

USM PULAU PINANG, 2 Mac 2020 – Penjagaan tradisional dalam keluarga masih dominan dalam masyarakat Malaysia dan ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya berhadapan dengan cabaran besar dalam menjaga anak mereka kerana mereka tidak mempunyai pendedahan dan maklumat yang tepat berkaitan penjagaan anak-anak kurang upaya.

Justeru, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus kehadapan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti apabila bekerjasama dalam memperkasa penjagaan anak kurang upaya.

Melalui geran penyelidikan Translasional Malaysia Research University Network (MRUN) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak USM melalui Pusat Tanggungjawabnya telah menjalankan bengkel-bengkel Training of Trainers kepada penjaga anak kurang upaya yang bertempat di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampus Induk USM.

Menurut Ketua Projek, Dr. Paramjit Singh Jamir Singh, Bengkel Training of Trainers – ‘Kemahiran Motor’ yang dijalankan telah dihadiri oleh penjaga anak kurang upaya yang terdiri daripada staf USM, penyelia dan petugas PPDK USM, penyelia dan staf PPDK timur laut yang berjumlah seramai 40 orang peserta.

pdk 2 edited

“Selain itu, Bengkel Training of Trainers – ‘Kemahiran Pengubahsuaian Tingkah Laku dan Pengurusan Diri’ yang merupakan sesi seterusnya pula telah dihadiri oleh penjaga anak kurang upaya yang terdiri daripada Staf USM, penyelia dan petugas PPDK USM, penyelia dan staf PPDK timur laut yang berjumlah seramai 35 orang peserta,” jelas pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) itu.

Tambah beliau, selepas kejayaan dua bengkel awal ini, beliau akan menjalankan Bengkel Training of Trainers “Pengendalian Anak Kurang Upaya Kepada Penjaga Anak Kurang Upaya’ dan ‘Advokasi Sosial Kepada Penjaga Anak Kurang Upaya’ dalam masa terdekat ini.

“Maklumbalas yang diberikan oleh penjaga anak kurang upaya sangat baik dan mereka meminta bengkel seperti ini diadakan dengan lebih kerap kerana mereka dapat mempelajari banyak terapi dan pengetahuan baru berkaitan dengan pengurusan anak OKU, manakala bagi penyelia dan petugas PPDK pula, mereka merasakan bengkel ini dapat membantu mereka untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman dalam menguruskan anak OKU kerana bengkel ini adalah berbentuk hands-on,” kata Paramjit Singh.

Ahli projek USM terdiri daripada staf akademik PPSK dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dan dibantu oleh Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), manakala ahli projek dari UniSZA terdiri daripada staf akademik dari Fakulti Sains Sosial Gunaan.

PPDK Kampus Induk USM telah beroperasi pada  9 Julai  2019 melalui kerjasama Bahagian Jaringan Masyarakat, Kluster OKU dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan.

pdk 3 edited

PPDK Kampus Induk USM beroperasi di bangunan Pejabat Kor Sukarelawan Siswa (H15) dengan keluasan 2,362.63 meter persegi.

Sehingga bulan Mei 2019, terdapat sejumlah 554 buah PPDK di seluruh negara dan PPDK USM ini menyediakan perkhidmatan terapi, intervensi dan kebajikan terhadap anak kurang upaya menerusi pendekatan bersepadu dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada di universiti dan melalui kolaborasi kepakaran luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 3482

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024