USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, PYDC METERAI MOU PERKASA BELIA

pydc 1

GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 1 Mac 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (Penang Youth Development Corporation, PYDC) di Majlis Pelancaran Sesi Orientasi Sukarelawan Belia Pulau Pinang di Auditorium A, KOMTAR, di sini.

Menandatangan bagi pihak USM ialah Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad (mewakili Naib Canselor USM) dan Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Dr. Abdul Hadi Zulkafli.

PYDC pula diwakili EXCO Belia dan Sukan Pulau Pinang merangkap Pengerusi PYDC, Soon Lip Chee dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sui Ling.

pydc 2

Menurut Hazlina, MoU itu dimeterai untuk membolehkan pelajar USM mengambil bahagian dalam program-program anjuran PYDC.

“Program PYDC berfokus kepada pembangunan belia, kerja kesukarelawanan di sekolah/pedalaman, mempersiapkan aktiviti kepimpinan belia, pendidikan kemahiran hidup, program pertukaran pelajar, dan menyokong jaringan sukarelawan belia dalam lingkungan komuniti di negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Tambahnya, MoU itu juga memberi fokus kepada:

  • jaringan komuniti/outreach/kesukarelawanan; 
  • pendidikan; 
  • kebolehpasaran belia; 
  • pemindahan ilmu dan kemahiran; 
  • pertukaran pelajar; 
  • Program Belia Pulau Pinang dan lain-lain seperti penasihatan/ceramah/seminar untuk pelajar USM (pemindahan ilmu).

Majlis ini turut diserikan dengan sesi taklimat daripada PYDC; sesi ceramah berkaitan Kesukarelawanan (Volunteerism); sesi perkongsian oleh sukarelawan belia; dan sesi perkongsian oleh sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.

Bercakap kepada sidang media selepas majlis penandatanganan MoU itu, Soon berkata kerjasama itu sejajar dengan visi kerajaan negeri Pulau Pinang 2030 untuk meningkatkan penyertaan belia, wanita dan warga emas dalam kehidupan masyarakat.

Sementara itu, Gwee berkata PYDC memberi tumpuan kepada pembangunan belia secara holistik, dan menyasarkan untuk melatih 2,000 sukarelawan menjelang penghujung tahun ini.

WhatsApp_Image_2020-03-01_at_11.54.30.jpeg

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2388

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024