USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NPSC KE-13 LABUH TIRAI, HIMPUNKAN 1,000 PELAJAR FARMASI SELURUH NEGARA

makmal 4

USM PULAU PINANG, 23 Februari 2020 – Karnival Sukan Farmasi Kebangsaan (NPSC) ke-13 yang berlangsung di kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM) sejak 21 Februari melabuh tirainya hari ini dengan berlangsungnya majlis penutup dan penyampaian hadiah di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.

Majlis penutup disempurnakan oleh EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, YB Soon Lip Chee dan dihadiri hampir 1,000 pelajar Farmasi dari 16 buah universiti awam dan juga universiti swasta di seluruh Malaysia yang mengambil bahagian dalam 14 jenis acara sukan yang dipertandingkan termasuk acara trek dan padang, sukan akuatik, e-Sukan, permainan tradisional dan moden.

makmal 1

Soon dalam ucapan penutupnya, menyeru semua pelajar untuk mengamalkan budaya hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti kesukanan dan rekreasi dengan meluangkan sedikit masa pada setiap hari dalam kesibukan menghadiri kuliah, tutorial dan makmal kerana badan yang sihat menjadikan minda cerdas. 

“Saya menyokong penuh penganjuran program-program seperti ini dan seharusnya mendapat penyertaan semaksimum yang mungkin daripada semua pelajar kerana ia bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah dapat memupuk sifat kerjasama antara pelajar-pelajar Sains Farmasi.

“Rebutlah peluang seperti ini kerana kejohanan sebegini dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri kita seterusnya membentuk modal insan yang holistik dan berkualiti,” katanya.

Tambahnya lagi, kejohanan seumpama ini memberi peluang kepada pelajar untuk mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi serta mengukur keupayaan diri masing-masing.

makmal 2

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada tuan rumah USM, khususnya kepada Persatuan Sains Farmasi USM yang mendapat kerjasama Malaysian Pharmacy Students’ Association (MyPSA) dalam penganjuran karnival sukan ini serta semua individu yang terlibat dalam menjayakan NPSC ke-13 kali ini.

Sementara itu, menurut Pengarah projek NPSC MyPSA ke-13, Mohamad Ikhwan Hakim Ishak, karnival sukan tersebut merupakan antara program terbesar yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Sains Farmasi Malaysia setiap tahun.

makmal 3

“Saya berharap karnival kali ini telah mencapai matlamat murninya, iaitu untuk mempromosi gaya hidup sihat, membina jaringan dan ukhwah dalam kalangan pelajar-pelajar Sains Farmasi dari seluruh Malaysia, memupuk semangat kesukanan dan persaingan sihat semasa bertanding, dan juga menyediakan medan untuk mereka memperagakan bakat dan kemahiran mereka dalam acara-acara sukan yang dipertandingkan.

Turut hadir dalam upacara penutup tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab dan penasihat projek Dr. Dzul Azri Mohammed Noor.

Teks: Zamzami Rasidi

  • Created on .
  • Hits: 935

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024