USM-SPRINGTECH VENTURES JALIN KERJASAMA STRATEGIK PERKASAKAN ICT
PULAU PINANG, 22 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usahanya bergerak seiring dengan pembangunan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjalin kerjasama dengan rakan industri, Springtech Ventures Sdn. Bhd. melalui satu memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai di sini, baru-baru ini.
Pemeteraian MoA berkenaan melibatkan perkongsian kepakaran teknologi maklumat, pertukaran ilmu pengetahuan dan program latihan industri dalam usaha kedua-dua pihak menggiatkan pelbagai agenda untuk memperkasa pembangunan secara berterusan khususnya dalam menghadapi revolusi industri 4.0.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komunti) yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK), Profesor Dr. Bahari Belaton berkata, kerjasama dengan rakan industri seperti Springtech Ventures yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat adalah sangat signifikan pada masa kini.
“Kerjasama seumpama ini menjadi teras kepada inovasi teknologi dan pembangunan ekonomi yang memacu transformasi masyarakat dalam abad ke-21.
“Perbezaan teknologi seperti cloud computing, Internet of Things (IoT) dan data raya (Big Data) sentiasa mengubah industri IT secara keseluruhan. Cabaran bidang ini semakin hari semakin meningkat dan kolaborasi ini amat penting untuk kedua-dua pihak sentiasa maju dan seiring kemajuan sistem ICT global,” ujarnya.
Bahari turut berharap kolaborasi di antara USM dan Springtech Ventures mampu menyokong antara satu sama lain bagi mempromosi dan membangunkan penyelidikan, pendidikan serta latihan industri yang bakal memberi faedah kepada kedua-dua pihak.
Pada majlis yang sama, Ketua Pengawai Eksekutif Springtech Ventures, Joseph Lim pula berkata, beliau mengharapkan kerjasama itu akan menyumbang kepada manfaat bersama dari segi libat sama penyelidikan bidang pengkomputeran dan teknologi yang berkaitan.
“Kita akan mengenalpasti platform untuk digandingkan bersama USM bagi memajukan penyelidikan dan pembangunan dalam projek-projek yang melibatkan pemeriksaan visual, teknologi IoT, analisis data dan sebagainya,” katanya lagi.
Yang turut hadir adalah Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM yang mewakili Naib Canselor USM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik serta warga Pusat Pengajian Sains Komputer dan Springtech Ventures.
Teks: Mohd Nur Firdaus Bin Saa’ban (pelajar praktikal)/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar)
- Created on .
- Hits: 1916