USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKASA MUZIUM SEBAGAI AGEN PERUBAHAN DAN PEMBANGUNAN, INSTRUMEN MENCAPAI KEMAJUAN

USM PULAU PINANG, 22 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mengukuhkan jalinan kerjasama melalui penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan memperkasakan bidang permuziuman di negara ini.

Dalam majlis penandatanganan yang berlangsung baru-baru ini, USM diwakili oleh Naib Canselor,  Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan manakala JMM pula diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Muzium_5.jpeg

Faisal Rafiq dalam mengimbau kembali kerjasama yang telah terjalin antara USM dan JMM berkata, jalinan kolaborasi antara kedua-dua pihak telah bermula sejak tahun 1987 melalui penyelidikan di Kota Tampan dan Gua Harimau di Lenggong Perak.

“Sepanjang tempoh tersebut sehingga kini, USM dan JMM telah menganjurkan beberapa bengkel dan analisis terhadap artifak-artifak di bawah tanggungjawab JMM yang telah memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Menurut beliau, dengan adanya persefahaman ini, beberapa program dasar telah dan akan dirangka bersama yang akan melibatkan penyelidikan dalam bidang arkeologi dan pengurusan muzium serta penyertaan bersama dalam pengurusan dan konservasi koleksi.

“Maka USM melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) sangat berbesar hati dalam membantu meningkatkan kualiti penyelidikan dan konservasi dari sudut saintifik, melalui makmal dan peralatan yang ada.

“Penyelidikan yang lebih saintifik dan menyeluruh semestinya dapat memberikan nilai tambah kepada artifak di bawah pengurusan JMM, dan yang lebih penting, menambah pengetahuan baru kepada sejarah dan warisan negara,” ujar beliau.

Faisal Rafiq turut berkata, MoU itu turut merangkumi kerjasama penyelidikan dalam isu-isu libatsama dan masa depan melibatkan USM dan JMM yang dapat memberikan faedah dari aspek pendedahan, latihan dan penyelidikan selari dengan agenda USM dalam memperkasakan warisan negara.

Dalam pada itu, Kamarul Baharin pula menegaskan, JMM berperanan besar dalam menyelidik, mengumpul, memelihara, mendokumentasi dan menyebarkan ilmu pengetahuan tentang warisan sejarah, kebudayaan dan alam semulajadi negara kepada masyarakat.

“Muzium hari ini perlu menjadi agen perubahan dan pembangunan, bukan sahaja sebagai cermin peristiwa dalam masyarakat bahkan instrumen dalam mencapai kemajuan.

Muzium_3.jpeg

“Justeru itu, MoU ini merupakan satu jaringan pintar ke arah mendekatkan diri kepada kumpulan sasaran seperti golongan pendidik, belia, pertubuhan NGO, swasta, agensi kerajaan dan orang perseorangan,” tambahnya lagi.

Selain MoU dengan pihak USM, JMM turut memeterai perjanjian dengan beberapa institusi dan universiti awam lain antaranya dengan Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Mara, Kolej Universiti Islam Melaka, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Menurut beliau lagi, kerjasama ini sebenarnya mendokong misi JMM dalam meningkatkan profesionalisme dalam bidang permuziuman serta memantapkan penyelidikan, pengurusan koleksi, konservasi, pameran dan pendidikan serta meluaskan kerjasama strategik selaras dengan visinya untuk menjadi sebuah institusi permuziuman yang profesional dan bertaraf global.

Ruang dan peluang yang ada dalam kerjasama ini boleh digarap untuk perkongsian idea, peningkatan mutu penyelidikan dalam bidang sejarah serta penghasilan produk penyelidikan yang berkeupayaan memberi manfaat bersama dan kepada seluruh masyarakat amnya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM, Mohamad Shawali Hj. Badi.

Muzium_2.jpeg

Teks: Zamzami Rasidi & Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 886

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024