KURSUS SIJIL PdP MANTAPKAN KEMAHIRAN PdP PENSYARAH BAHARU UNTUK KERJAYA AKADEMIK YANG SERBA MENCABAR
USM PULAU PINANG, 21 Februari 2020 – Seramai 41 pensyarah baharu dari Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah berkampung di kampus induk di sini selama 2 minggu (3-14 Februari 2020) untuk menghadiri Kursus Sijil Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Kursus Sijil PdP merupakan kursus untuk memantapkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan pensyarah-pensyarah baharu yang perlu dihadiri oleh mereka sebelum boleh dipertimbangkan untuk pengesahan jawatan.
Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) USM dipertanggungjawabkan untuk merangka pengisian kursus tersebut.
Ketika ditemui, Pengarah CDAE yang juga ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Dr. Abd Karim Alias berkata, modul kursus telah menjalani pemurnian selama 5 tahun berturut-turut dan dianggap agak mantap sebagai pendedahan awal kepada pensyarah baharu.
“Mereka bukan sahaja didedahkan kepada aspek-aspek penting dalam PdP yang perlu dititikberatkan, malahan juga aspek penyelidikan dan ‘networking’.
“Selain itu, diwujudkan juga ‘Slot Bersama Pemimpin’ yang pengisiannya disampaikan oleh kepimpinan tertinggi USM dan sesi ‘The Quest for Excellence’ iaitu sesi perkongsian laluan kejayaan oleh pensyarah baharu dan yang berpengalaman,” katanya.
Menurutnya lagi, yang menarik tentang kursus PdP ini ialah sebelum bermulanya kursus, setiap pensyarah perlu memperkenalkan diri selain berkongsi aspirasi dan perjalanan akademik masing-masing dalam platform Padlet. Di akhir setiap sesi, pensyarah juga diminta berkongsi ‘reflection’ di FaceBook.
“Setelah menamatkan kursus PdP, pensyarah perlu menyiapkan portfolio pengajaran dan melakukan cerapan pengajaran sebelum boleh diluluskan dan seterusnya disahkan dalam jawatan,” kata Abd. Karim.
- Created on .
- Hits: 1224