USM, JABATAN MUZIUM PERKUKUH KOLABORASI PERKASAKAN BIDANG KONSERVASI
USM PULAU PINANG, 18 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) mengukuhkan kerjasama dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di sini baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapannya berkata, MoU itu amat signifikan kepada kedua-dua pihak kerana melibatkan kerjasama penyelidikan dan pertukaran kemahiran dalam isu-isu konservasi.
Selain itu katanya, beberapa program dasar akan dirangka bersama oleh USM dan JMM yang melibatkan penyelidikan bersama dalam bidang arkeologi, pengurusan muzium serta penyertaan bersama dalam pengurusan dan konservasi koleksi.
Tambah beliau, hubungan kerjasama antara USM dengan JMM telah lama dibentuk, iaitu sejak tahun 1987 melalui penyelidikan di Kota Tampan dan Gua Harimau di Lenggong, Perak serta aktiviti penyelidikan berterusan di tapak warisan kebangsaan iaitu Gua Tambun Ipoh, Perak.
“MoU ini menjadi kesinambungan kepada hubungan sedia ada dan berfokus kepada beberapa perkara, antaranya pengidentifikasi dan pemeriksaan semula koleksi rangka manusia dan koleksi fauna di JMM, selain pengenalpastian dan pemeriksaan semula tembikar dan koleksi litik.
“Hasil daripada kedua-dua skop ini akan didokumentasi secara sistematik dan dibentang dalam seminar atau forum Kurator,” ujar beliau sambil menambah, kerjasama itu turut merangkumi pemuliharaan meriam Fort Cornwallis dan penyimpanan rekod arkeologi seperti arkib digital dan sebagainya.
Beliau menandatangani dokumen MoU berkenaan dengan disaksi oleh Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin, manakala Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, menandatangani bagi pihak JMM dengan disaksi oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Mohamad Shawali Hj. Badi.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin pula berkata, MoU berkenaan antara lain menjurus kepada mengukuhkan hubungan baik pihak JMM dengan USM demi memperkasa pembangunan bidang berkaitan.
“Kami akan sentiasa komited bergandingan dengan pihak akademia seperti USM, masyarakat dan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan pemeliharaan terhadap warisan, sejarah, budaya dan alam semulajadi ini dapat dipelihara, dipulihara secara baik serta berkesan,” katanya.
Teks: Mohd Nur Firdaus Saaban (pelajar praktikal latihan industri)/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1112