PESARA TERUJA BERKHIDMAT DENGAN 5 NC
PULAU PINANG, 6 Mac 2013 – Pesara Universiti Sains Malaysia (USM), Che Rose Shaari terharu mengakhiri khidmatnya bersama institusi ini setelah lebih 35 tahun menabur bakti, apatah lagi berkesempatan berbakti kepada lima orang Naib Canselor (NC) USM.
Anak kelahiran Balik Pulau itu berkata, beliau mula berkhidmat di USM sebagai Pekerja Am (PA) di Jabatan Pembangunan pada tahun 1978, sebelum ditukarkan ke Pejabat Naib Canselor (PNC) pada tahun 1282 dengan jawatan Pembantu Am Rendah (PAR).
Bermula dari tahun tersebut, beliau kekal di PNC dan berpeluang berkerja secara dekat dengan lima NC iaitu Tan Sri Datuk Hamdan Sheikh Tahir, Tan Sri Dato’ Musa Mohamad, Dato’ Profesor Ishak Tambi Kechik, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak dan yang terkini, Prof. Dato’ Omar Osman.
``Pengalaman itu saya sematkan sebagai satu kenangan paling indah sepanjang berkhidmat. Bukan senang untuk berada di satu-satu tempat dalam tempoh yang lama dan saya rasa puas hati dapat mengenali kesemua NC.
``Saya turut melahirkan rasa terima kasih kepada universiti kerana diberi peluang yang bukan dapat dinikmati semua orang. Sepanjang perkhidmatan, saya tidak pernah mengalami sebarang masalah serius dan semua berjalan secara baik hingga kini,’’ katanya.
Che Rose berkata demikian ketika ditemui selepas majlis ringkas meraikan hari terakhir perkhidmatannya bersama USM di sini baru-baru ini, yang turut dimeriahkan dengan kehadiran NC.
Secara rasmi, Che Rose menamatkan perkhidmatan di PNC USM pada 28 Februari lalu pada usia 58 tahun.
Mengulas masa depannya setelah bersara, beliau akan menumpukan masanya bersama keluarga, terutama membantu isterinya, Noraini Yusoff, 50 yang kurang sihat dan perlu mendapatkan rawatan di hospital pada setiap minggu.Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: MohamadDanial Shahri
- Created on .
- Hits: 2281