USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-TEROKA TRAVEL AND TOURS JALIN KERJASAMA BANGUNKAN ARKEOPELANCONGAN

arkeo1

BUKIT MERTAJAM, 17 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah memajukan sektor pelancongan arkeologi/arkeopelancongan (Archaeotourism) di Malaysia apabila menjalinkan kerjasama dengan Teroka Travel and Tours bagi mempromosi, mendedah dan menarik minat masyarakat tempatan mengenai kepentingan sejarah arkeologi negara.

Kerjasama ini bakal memperlihatkan pembangunan pelbagai program dan aktiviti arkeologi yang akan disalurkan kepada komuniti tempatan seawal kanak-kanak berumur 5 tahun agar mereka mampu mengenali sejarah, jati diri dan semangat cintakan negara.

arkeo2

Pada pertemuan di majlis Pelancaran Archaeotourism, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin berkata kerjasama ini dicapai atas komitmen yang diberikan kedua-dua pihak kerana USM mempunyai maklumat lengkap, data dan sumber hasil penyelidikan yang dibuat lebih daripada 30 tahun di negara ini dan pihak Teroka Travel pula berperanan menarik minat pelancong dalam dan luar negara bagi meneroka dan mempelajari sejarah unik yang dimiliki di negara ini.

“Salah satu agenda bagi memperkasakan arkeopelancongan ini adalah menerusi peringkat akar umbi iaitu pemahaman terus kepada kanak-kanak melalui program ArchaeoJunior, agar mereka didedahkan kepada industri pelancongan arkeologi di negara ini sejak muda lagi,” ucapnya ketika melancarkan arkeopelancongan yang diadakan di Town Steel Kitchen, di sini.

arkeo6

Tambahnya lagi, tahun 2020 merupakan titik tolak pemerkasaan arkeopelancongan yang dilaksanakan oleh USM sejak tahun 2015, apatah lagi ia mendapat sokongan agensi pelancongan seperti Teroka Travel and Tours bagi membantu USM mempromosi serta menarik pelancong dalam dan luar negara menyaksikan sendiri sejarah arkeologi yang dimiliki di Malaysia.

arkeo3

“Sememangnya sasaran USM ialah kepada anak muda seawal peringkat kanak-kanak diberikan kesedaran mengenai arkeologi kerana ia cukup memberi impak kepada jati diri dan menanamkan rasa sayang pada negara terutamanya apabila mengetahui sejarah awal negara dan asal usul bangsa,” jelasnya lagi.

Yang turut hadir adalah Konsultan Jualan dan Pemasaran Teroka Travel and Tours, Dr. Azrina Ahmad; Pengarah Urusan Teroka Travel and Tours dan Pengarah Kumpulan Mofaz, Dato’ Zulkifli Ahmad.

Pada masa yang sama, Azrina berkata, pihak syarikatnya amat mengambil perhatian bagi mempromosikan Archaeotourism terutamanya dalam kalangan kanak-kanak melalui ArchaeoJunior.

arkeo4

“Teroka Travel and Tours bukan sahaja memfokuskan kepada aspek keuntungan semata-mata, tetapi cukup memandang serius isu pendidikan di negara ini, atas sebab itulah kami menyediakan pakej-pakej khas ArchaeoJunior buat kanak-kanak seawal peringkat tadika yang akan diperhebat promosinya ke seluruh Malaysia,” katanya.

“Kita turut akan mengadakan pelbagai program bersama USM di Muzium Arkeologi USM selepas ini dengan membawa pelajar sekolah dan tadika bagi merasai sendiri penerokaan dunia arkeologi melalui pelbagai cara termasuk menggalakkan ibu bapa sendiri hadir membawa anak-anak mereka melawat tapak penyelidikan arkeologi,” jelasnya lagi.

arkeo5

Azrina turut berharap hasil kerjasama dengan USM ini sekaligus bukan sahaja dapat meningkatkan potensi dunia perniagaan tetapi mampu menyediakan platform dan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat di lokasi-lokasi penemuan tapak sejarah awal negara oleh USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1238

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024