THAIPUSAM DISAMBUT MERIAH, KONSEP LESTARI DIPOPULARKAN DALAM PERAYAAN
PULAU PINANG, 11 Februari 2020 – Perayaan Thaipusam yang disambut oleh penganut agama Hindu pada bulan 'Thai', iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil bukanlah sesuatu yang asing di Universiti Sains Malaysia (USM).
Malah, perayaan keagamaan itu telah diraikan selama lebih 40 tahun oleh kaum India di USM, yang mana kemeriahannya turut dikongsikan dengan masyarakat lain di menara ilmu ini atas semangat keharmonian bangsa berbilang kaum.
Menarik untuk dikongsikan, USM selaku sebuah institusi pendidikan tinggi di negara ini membuktikan komitmen tinggi untuk membawa perubahan dengan memperkenalkan konsep kelestarian ketika menyempurnakan upacara keagamaan itu yang disertai oleh lebih 25,000 pengunjung saban tahun.
Pengerusi Sambutan Thaipusam peringkat USM yang juga Pegawai Tadbir di Pusat Pengajian Sains Kimia USM, G. Subramaniam berkata, perkara itu dapat dilihat dengan jelas melalui aktiviti penyediaan makanan yang disajikan kepada pengunjung menggunakan bekas yang boleh diguna semula.
Beliau berkata, pihaknya dibantu dengan sokongan hampir 100 sukarelawan yang terdiri dalam kalangan pelajar, kakitangan dan mantan kakitangan yang sentiasa bersedia membantu menyediakan kira-kira 3,000 hidangan makanan tengah hari serta lebih 20,000 cawan minuman sepanjang perayaan berlangsung.
“Program ini telah pun berlangsung dengan jayanya sejak 44 tahun yang lalu. Saban tahun ‘thaneer panthal’ (khemah persegaran) USM menyediakan makanan dan minuman menggunakan peralatan guna semula (stainless steel) yang dibasuh secara sukarela oleh para sukarelawan.
“Walaupun dengan jumlah yang besar namun kita gembira kerana di samping beramal, kita turut menunjukkan contoh yang baik untuk menjaga persekitaran dan mengelak pembaziran jika menggunakan peralatan lain seperti pinggan-mangkuk pakai buang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran pula berkata, amalan kelestarian yang diamalkan USM sangat baik untuk terus dipopularkan.
Katanya, beliau turut teruja melihat penglibatan para sukarelawan yang bekerja keras memastikan edaran makanan dan minuman dapat disediakan dengan sebaiknya di khemah USM sejak berpuluh tahun yang lalu.
Sementara itu, kemeriahan Thaipusam bukan sahaja dirasai oleh penganut agama Hindu, malah pengunjung khususnya pelancong dari luar negara turut berkongsi keunikan perayaan yang disambut khusus bagi menunaikan hajat atau menebus dosa mengikut kepercayaan agama berkenaan.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut melapangkan masa meninjau secara dekat aktiviti di khemah persegaran USM dan beramah-mesra dengan para sukarelawan yang bertugas sepanjang perayaan berlangsung.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 999