USM TUAN RUMAH ASLF 2021: CUNGKIL DAN ASAH KEMAHIRAN KEPIMPINAN PELAJAR ASEAN
USM PULAU PINANG, 11 Februari 2020 – Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri baru-baru ini bersama dua lagi ahli telah menghadiri The 8th ASEAN Student Leaders Forum (ASLF) 2020 dan The 4th AUN Student Affairs Network Meeting (AUN-SAN) di Chiang Mai University, Thailand yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah.
Menurut Amir, ASLF 2020 berobjektif sebagai platform bagi pemimpin pelajar ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan pandangan berkaitan organisasi pelajar dan pembangunan belia di rantau ini.
“Selain itu, ASLF juga ditubuhkan sebagai platform untuk pentadbiran hal ehwal pelajar universiti di rantau ini untuk membincangkan dan berkolaborasi bagi pelbagai isu yang bersangkutan dengan pelajar,” kata pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu.
Tambahnya, forum yang berlangsung pada 3-7 Februari lalu itu telah menyaksikan satu kejutan apabila pada akhir forum tersebut, Malaysia telah diberi mandat untuk menjadi tuan rumah tahun 2021 dan lebih manis USM telah dipilih untuk menjadi lokasi dan penganjur buat pertama kali bagi program kepimpinan pelajar berskala besar ini.
Forum lima hari itu melibatkan aktiviti untuk program akademik dan bukan akademik yang meliputi empat komponen utama iaitu perbincangan; mesyuarat berkumpulan dan bengkel; pembentangan; dan pendedahan komuniti dan budaya.
ASLF telah bermula pada tahun 2012 yang mana Nanyang Technological University Singapura menjadi penganjur pertama dengan tema “Student Governance in the 21st Century”.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 962