USAHA JALANKAN PROGRAM KOMUNITI PPPJJ TERIMA MAKLUM BALAS POSITIF
BALING, KEDAH, 8 Februari 2020 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil peluang sempena cuti umum perayaan Thaipusam bagi mengadakan program Charity Event di Kampung Tandop, Bongor, Baling Kedah.
Menurut Penyelaras Projek dan juga Pensyarah Pengurusan PPPJJ, Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman, program sebegini pertama kali diadakan semasa Kursus Intensif dan ianya menerima maklum balas positif dari pelajar malah mereka memohon untuk diadakan pada setiap tahun.
“Pada tahun ini, kita berjaya mengumpul dana sumbangan lebih kurang RM10,000 serta pelbagai sumbangan lain termasuk barangan makanan kering dan pakaian,” kata Wan Afezah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat serta seluruh pelajar yang memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan program ini serta membantu komuniti dan anak-anak muda di kampung terpilih,” tambahnya.
Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk program motivasi bersama pelajar sekolah rendah dan menengah, sukaneka, ceramah, kerja-kerja mengecat dan membersihkan masjid, solat berjemaah dan juga penyampaian sumbangan barangan makanan kepada 40 keluarga miskin di kampung berkenaan.
Seramai lebih kurang 80 orang pelajar dari pelbagai kursus pengajian RPJJ mengikuti program berkenaan dan juga staf pentadbiran dan akademik. Program sehari itu mendapat maklum balas positif penduduk kampung terutama daripada Imam Masjid Nur Takwa Kampung Tandop, Bongor.
Menurut imam masjid, Ayob Abdullah, penduduk kampung tersebut sangat jarang menerima kunjungan serta terlibat dengan program komuniti seperti yang PPPJJ adakan.
“Ia adalah satu usaha yang baik serta dapat membuka minda dan pemikiran penduduk kampung dan juga memberikan pendedahan kepada anak-anak tentang dunia luar,” kata Ayob.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1122