USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIR KESEDIHAN KEHILANGAN ALUMNI DAN WIRA NEGARA

IMG

PULAU PINANG, 5 mAC 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) melahirkan kesedihan dan rasa dukacita yang teramat sangat atas pemergian alumninya, Supt. Ibrahim Lebar, siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan 1998 yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah kelmarin.

“Kami berbangga dengan semangat pengorbanan Ibrahim dan wira-wira negara lain dalam mempertahankan tanah air sehingga sanggup mengorbankan nyawa mereka yang seharusnya menjadi contoh dan semangat kepada semua,” kata Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman.

Katanya lagi, USM menyokong sepenuhnya apa jua usaha yang dilakukan oleh pihak keselamatan dalam menangani segera tragedi yang menyedihkan ini dan mengadakan solat hajat serta mengadakan kutipan bagi membantu keluarga mangsa-mangsa yang terkorban serta mendoakan agar semua wira yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dihimpunkan sebagai syuhada.

DSC 2882

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM), Muhammad ‘Ammar Abdul Aziz menyifatkan insiden yang telah mengorbankan wira-wira negara itu amat memilukan kepada para mahasiswa dan seluruh warga negara Malaysia.

“Kami amat sedih dan bersimpati dengan pemergian wira-wira negara yang telah mempertahankan kedaulatan negara selama ini dengan penuh  semangat serta kesetiaan kepada negara dan semangat yang ditunjukkan oleh wira-wira negara ini sewajarnya dihayati oleh semua,” kata Muhammad ‘Ammar.

Tambahnya lagi, mahasiswa USM yakin dan percaya akan kekuatan barisan keselamatan negara untuk menghalang sebarang ancaman dan campur tangan dari pihak luar yang sentiasa mencari peluang menumbangkan benteng keselamatan negara.

 

Dalam satu kenyataannya, Muhammad ‘Ammar yang turut mengutuk pencerobohan dan tindakan ganas yang dilakukan oleh pihak berkenaan menegaskan bahawa mahasiswa USM  sentiasa bersama dan yakin dengan pasukan keselamatan negara dalam mempertahankan tanah air tercinta dan sebagai warga negara Malaysia  kita perlu bersama-sama mendoakan keamanan dan kesejahteraan Malaysia. teks: Mohamad Abdullah/ Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 3367

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024