NC USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH BMI JPA
USM PULAU PINANG, 24 Januari 2020 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan baru-baru ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bahagian Pembangunan Modal Insan (BMI) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diketuai oleh Pengarah BMI, Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed.
Sesi kunjungan hormat itu diadakan sempena lawatan kerja sehari pihak BMI JPA ke USM. Antara wakil BMI JPA yang turut hadir ialah Timbalan Pengarahnya, Yusri Razalli@Ghazali.
Dalam perjumpaan hampir sejam itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan yang menjurus kepada memperluas dan memperkukuhkan jaringan kerja dan kolaborasi strategik serta penerokaan peluang dan bidang kerjasama baharu dalam pembangunan modal insan.
Selain itu, pihak BMI JPA juga mengadakan perbincangan dengan Pendaftar USM, Dr. Musa Ali dan mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkenaan dengan sistem pengurusan sumber manusia (HRM) yang dibangunkan oleh Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PiPPA) USM.
Zulkapli yang juga alumni USM, berkata pihaknya berminat untuk menerapkan sistem ini dalam institut latihan awam di seluruh Malaysia untuk tujuan penilaian kompetensi dan kenaikan pangkat dalam Dasar Pembangunan Sumber Manusia yang akan dilancarkan pada bulan Februari/Mac 2020.
BMI bertanggungjawab dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar latihan dan penajaan bagi memenuhi keperluan strategik pembangunan modal insan sektor awam dan negara.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 924