PRO-CANSELOR HADIR BERTEMU KEPIMPINAN PELAJAR USM
PULAU PINANG, 6 Februari 2020 – Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dato' Dr. M. Jegathesan hari ini sempat meluangkan masa bertemu dan beramah mesra bersama ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi sidang akademik 2019/2020 di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM.
Jegathesan yang turut mengadakan kunjungan bertemu Naib Canselor USM di sebelah paginya, hadir bertemu para kepimpinan pelajar USM bagi berkongsi pengalaman beliau sebagai atlet olahraga dan ahli perubatan, bagaimana membina kerjaya dan tips untuk generasi muda menjadi pemimpin yang berjaya di masa akan datang.
Sesi pertemuan selama dua jam ini turut melibatkan sesi soal jawab dan perkongsian cabaran serta realiti yang dihadapi kini sebagai mahasiswa pada zaman sekarang sebelum menempuh alam pekerjaan dan kemuncak pencapaian hidup.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pendaftar Kanan, (BHEPA) USM, Mohamad Abdullah serta para pegawai kanan universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 717