USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT AKEPT
PULAU PINANG, 4 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) semalam menerima kunjungan hormat dari Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bagi bertemu barisan pengurusan tertinggi universiti.
Delegasi AKEPT diketuai oleh Pengarahnya Profesor Dr. Nordin Yahaya bersama Timbalan Pengarah Pusat Pemprofilan Kepimpinan, Profesor Madya Dr. Ismie Roha Mohamed Jais dan Ketua Penolong Pengarah Pusat Pemprofilan Kepimpinan, Azian Mohmad Azman.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, yang mempengerusikan perjumpaan tersebut, berkata beliau amat berbesar hati pertama kali menerima kunjungan hormat dari AKEPT selepas empat bulan diberikan amanah menerajui USM.
“Saya amat mengalu-alukan kehadiran delegasi AKEPT yang sudi mengadakan kunjungan hormat ke USM ini dan ini sedikit sebanyak memberikan input kepada saya dan pengurusan tertinggi USM bagi merencana aspek kepimpinan, pentadbiran dan kemajuan akademik mengikut apa yang disasarkan secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Nordin berkata pihak AKEPT mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada USM yang sudi menerima kunjungan AKEPT dan mengharapkan barisan kepimpinan USM kini mampu meningkatkan kualiti pendidikan bukan sahaja di peringkat USM malah pembangunan pendidikan di negara ini terutamanya dalam aspek kepimpinan dan memperkasakan agenda National Top Talent (NTT).
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Ombudsman USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; Penasihat Undang-Undang USM, Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Dekan Institut Pengajian Siswazah USM, Profesor Dr. Rozman Hj. Din, serta pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 691