USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-UMSU METERAI PERJANJIAN KERJASAMA PEMBANGUNAN PENYELIDIKAN INDUSTRI PEMBINAAN DAN TEKNOLOGI BANGUNAN

EAM 6427 edited

PULAU PINANG, 3 Februari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan meneruskan kerjasama antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) bagi meneliti peluang-peluang yang boleh diteroka bersama dalam industri pembinaan dan bangunan.

Timbalan Naib Canselor, Kelestarian dan Pembangunan Institusi, USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim berkata, perjanjian kerjasama ini adalah komitmen kedua-dua pihak dalam mengenalpasti projek-projek yang berpotensi melalui landasan ‘Research Projects Collaboration Programme (RPCP)’ yang akan menyumbang kepada pembangunan industri pembinaan dan teknologi kedua-dua buah negara.

“Melalui platform ini, diharapkan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, USM bersedia untuk menjadi rakan bertindak dari aspek penyelidikan dan melibatkan diri secara aktif dalam projek-projek yang dikenal pasti oleh UMSU,” jelas Md. Roslan yang hadir mewakili Naib Canselor USM.

EAM 6446 edited

Tambahnya lagi, kedua-dua pihak akan melihat kepada peluang-peluang yang boleh diterokai dalam membangunkan industri pembinaan tempatan dan memastikan ia direalisasikan dengan optimum.

Dalam pada itu, Rektor UMSU, Dr. Agussani M.AP pula berkata pihaknya amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan USM bagi merencanakan penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi pembinaan dan bangunan.

“Saya berharap perjanjian kerjasama ini menjadi titik tolak kepada pembangunan penyelidikan yang yang lebih kukuh untuk industri ini melalui perkongsian kemahiran tenaga pakar kedua-dua institusi dan program pertukaran pelajar dan staf bagi tujuan tersebut,” tambahnya lagi.

SHR 8589 edited

Yang turut hadir adalah Dekan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM, Profesor Madya Ir. Dr. Abdul Naser Abdul Ghani; pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Perumahan, Pembangunan dan Perancangan, USM serta delegasi dari UMSU.

Teks: Nurul Huda Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 763

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024