USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENYELIDIKAN UNIVERSITI PEMANGKIN KEMAJUAN NEGARA

088 edited

USM PULAU PINANG, Januari 2020 – Bidang penyelidikan memainkan peranan yang besar dalam memperkasakan ‘nation building’ dan penghasilan penemuan baharu supaya negara kekal relevan dalam menempuh alaf baru dengan pelbagai penemuan terkini.

Penyelidikan juga adalah teras utama dalam kemajuan universiti kerana tanpa penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran pelajar siswazah akan berada pada aras mendatar.

Pada masa ini, kerajaan memberi fokus kepada empat bidang strategik iaitu Industry 4.0, FinTech in Islamic Finance, Health and Wellness dan Halal Supply Chain.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata memandangkan universiti adalah pemangkin kepada kemajuan negara, USM sebagai satu daripada lima Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia harus menyokong dan sehaluan dengan fokus yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, USM turut melihat kepada bidang penyelidikan yang memberi impak secara langsung kepada komuniti sejagat dan perkembangan industri negara serta mempunyai peranan dalam menyelesaikan permasalahan global bagi menjamin kelestarian dan meningkatkan kualiti hidup manusia.

“Hala tuju USM pada tahun ini akan bertumpu kepada penyelidikan yang memberi impak kepada komuniti dan industri selain memastikan semua aktiviti penyelidikan perlu menyumbang kepada United Nations Sustainable Development Goals (SDG).

“Dalam kemajuan teknologi yang sentiasa progresif, USM mengambil pelbagai langkah yang wajar untuk memperkasakan penyelidikannya termasuklah mewujudkan Open Access Collaboration dengan pihak industri demi merancakkan lagi penyelidikan yang mana makmal penyelidikan USM dibuka untuk kegunaan penyelidikan dan pembangunan oleh pihak industri,” katanya.

Selain daripada itu, USM turut menggalakkan tenaga akademik untuk bersama-sama dengan industri melalui program Staff Attachment, di mana penyelidik akan ditempatkan di industri selama setahun.

USM juga mengambil langkah mendapatkan dana luar secara Crowd Funding dari pihak luar untuk melaksanakan program berteraskan pemerkasaan komuniti seperti Kementerian Pendidikan melalui geran Translational Research (Tr@M), Public-Private Research Network (PPRN) serta agensi yang lain seperti TERAJU dan juga Kementerian Kebajikan Masyarakat.

Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan USM berdepan dengan kekangan kewangan dalam menjalankan penyelidikan dan masalah itu bukan saja dihadapi oleh universiti tetapi juga kebanyakan institusi di Malaysia.

“Oleh itu, USM mengambil langkah yang proaktif dan selektif di mana hanya penyelidikan yang memberi impak yang tinggi, mempunyai nilai inovasi yang boleh dikomersialkan atau memberi pulangan yang besar kepada masyarakat akan diberi keutamaan untuk pembiayaan.

“Bagi mengatasi masalah kekangan peruntukan itu, universiti mengambil langkah menggalakkan multi-disciplinary and multi-institutional collaboration dalam melaksanakan sesuatu penyelidikan,” katanya.

Beliau turut berkata, bagi membantu pelajar pascasiswazah dalam menjalankan penyelidikan masing-masing, USM menawarkan skim zamalah siswazah melalui Institut Pengajian Siswazah iaitu pembiayaan kepada pelajar bagi meneruskan pengajian pascasiswazah (Master/PhD).

“Selain daripada itu, geran penyelidikan yang ditawarkan oleh universiti turut boleh digunakan untuk membayar pelajar bagi meneruskan pengajian pascasiswazah (Master/PhD),” ujarnya.

Dipetik dari teks asal: Nor Azma Laila (BH VARSITI 516/9 Januari 2020)

  • Created on .
  • Hits: 743

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024