MALAYSIA PERLU LAHIRKAN PAKAR ORANG UTAN
PULAU PINANG, 5 Mac 2013 – Malaysia disarankan supaya mengambil peluang keemasan untuk melahirkan pakar berkaitan biodiversiti Orang Utan memandangkan negara ini salah sebuah negara bertuah menjadi habitat asal haiwan primat itu selain Indonesia.
Profesor Dr. Tetsuro Matsuzawa dari pusat penyelidikan primat (mamalia) paling terkenal di dunia, Primate Research Institute (PRI) Kyoto University, Jepun berkata, tidak semua negara berpeluang memiliki keistimewaan seperti apa yang ada di Borneo dan Sumatera.
Justeru katanya, negara ini khususnya Universiti Sains Malaysia (USM) yang turut mempunyai Pusat Penyelidikan Sains Kajihayat memiliki potensi yang amat besar untuk membangunkan kajian menyeluruh terhadap orang utan, sekaligus menerbitkan jurnal berimpak tinggi yang boleh dikongsi di serata dunia.
``Ia sesuatu yang mengejutkan apabila tidak ada seorang pun pakar orang utan secara menyeluruh di negara ini sedangkan wujud sehingga lebih 10,000 orang utan di tiga buah pusat pemeliharaan haiwan itu di negara ini (Borneo).
``Berdasarkan pengamatan saya sebagai saintis juga mendapati tidak ramai yang ambil kisah mengenai perkara ini walaupun spesis itu kini mengalami kepupusan disebabkan tiga faktor utama iaitu penebangan hutan, pemburuan dan juga penyakit,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan berkaitan biodiversiti dan keupayaan cimpanzi, yang juga tergolong dalam keluarga haiwan primat di sini hari ini.
Tambah beliau, kewujudan orang utan turut mencerminkan keindahan ekosistem dan menjadi simbol kepada biodiversiti hutan hujan tropika yang wujud di negara ini.
Matsuzawa juga berkata, daripada kawasan yang begitu luas di Kepulauan Borneo, kini hanya tinggal tiga kawasan utama yang dipelihara sebagai kawasan rizab hidupan liar tesebut, termasuk di Imbak Canyon, Lembah Danum dan Lembangan Maliau.
``Tidak dinafikan kerja-kerja penyelidikan dan pemeliharaan biodiversiti memerlukan kos yang tinggi namun ia sesuatu yang berbaloi untuk khazanah ilmu dan perkembangan sains.
``Kita perlu mencari jalan dan satu perbincangan intensif perlu diadakan bagi melihat sejauh mana penyelidikan haiwan itu boleh dibangunkan di negara ini secara lebih menyeluruh,’’ ujar beliau.
Perkara itu ujarnya akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama USM di bawah kerangka pelan kerjasama dengan PRI yang dimeterai melalui satu memorandum persefahaman pada 2011.
Tambah beliau lagi, bilangan orang utan di negara ini semakin menurun dan dianggarkan kita kehilangan lebih kurang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan haiwan itu dalam tempoh setiap 10 tahun.
Matsuzawa ke USM bagi berkongsi pengalaman dan kepakarannya menjalankan kajian lebih 35 tahun dalam biodiversiti cimpanzi, termasuk yang dipelihara dan yang liar di hutan.
Dalam konteks kajian habitat liar haiwan itu, Matsuzawa telah menghabiskan masanya di beberapa lokasi kajian di Afrika Selatan meliputi Bossou, Nimba, Guinea dan sebagainya.
Menurut beliau, cimpanzi di awal usia lima tahun mempunyai keupayaan kognitif dan memori yang sangat kuat, sehingga mampu menyelesaikan ujian memori dan menyelesaikan turutan nombor dari 1 hingga 19 dengan hanya sekali melihat paparan angka berselerak di skrin komputer.
Katanya, melalui kajiannya, beliau turut dapat mengenal pasti keistimewaan di antara manusia dan cimpanzi yang mana manusia dilihat lebih cenderung mempunyai harapan, berimaginasi dan mempunyai keperluan mendesak berbanding haiwan tersebut.
``Cimpanzi bersifat lebih relaks dan hanya menumpukan kepada kehidupan di sini dan pada masa ini (here and now). Justeru, haiwan ini tidak mempunyai daya imaginasi dan harapan namun sangat tertarik kepada aktiviti tertentu seperti melukis dan sebagainya,’’ ujarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dekan PPSK, Prof. Madya Ahmad Sofiman Othman, barisan penyelidik PPSK termasuk Prof. Mashhor Mansor dan Prof. Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd Sah. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2380