USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PEMAIN HOKI CILIK TERUJA, BEKAS PEMAIN KEBANGSAAN KONGSI KEMAHIRAN

SHR 7845

USM PULAU PINANG, 20 Januari 2020 – Kira-kira 120 peserta dalam kalangan pelajar sekolah di sekitar negeri ini teruja dan menyerlahkan bakat terpendam ketika menyertai Klinik Pembangunan Hoki Remaja Bawah 12 Tahun yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Paling mengujakan, penampilan khas dua bekas pemain kebangsaan, Izwan Firdaus Ahmad Tajudin dan Mohd. Izzat Rahim dilihat sebagai antara penyuntik semangat buat kanak-kanak berkenaan mempamerkan aksi memberangsangkan selama dua hari program itu berlangsung.

SHR 7828

Klinik Pembangunan Hoki itu adalah anjuran bersama Pusat Sukan dan Rekreasi USM, M. Lions Hockey Club dan Persatuan Hoki Negeri Pulau Pinang (PSHA).

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hadir merasmikan upacara penutup, sekaligus menyampaikan hadiah kepada para peserta.

Menurut Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Idrus Rapie berkata, program itu melibatkan penyertaan pelajar sekolah dari lima daerah utama di negeri ini iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

SHR 7847

“Selain penampilan istimewa bekas pemain kebangsaan, program ini turut melibatkan tenaga pengajar yang terdiri dari bakat-bakat muda dalam kalangan alumni, staf dan pelajar USM,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program berkenaan, Mohd Suhaimi Abdul Rahaman pula berkata, objektif penganjuran klinik hoki itu adalah untuk memupuk minat dan melestarikan sukan hoki dalam kalangan pelajar.

Katanya, ia turut bertujuan mempraktikkan teknik yang betul dalam permainan hoki, selain mencungkil dan melahirkan pemain hoki muda yang berbakat dalam kalangan pelajar di peringkat lebih awal.

EAM 5887

 

“Program ini juga adalah antara inisiatif kita di pelbagai peringkat untuk memainkan peranan dan memberi sumbangan dalam membudayakan sukan hoki dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

hoki

Hadir sama ke program berkenaan ialah Penaung M. Lions Hockey Club, Dato’ Seri Yusop Che The; Presiden PSHA, Ranjit Singh dan sebagainya.

Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa, Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1238

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024