33 TAHUN ROSLY DI CEMACS, ADA RAHSIANYA...
TELUK BAHANG, 17 Januari 2020 – Rosly Bin Basarudin, 58, memulakan kerjaya di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan jawatan Juruteknik dan pada ketika itu usianya baru 24 tahun serta masih bujang.
Tawaran diterima dengan teruja, kerana Rosly yang pada ketika itu yang menetap di Butterworth tidak tahu bahawa beliau akan ditempatkan di sebuah pusat tanggungjabwab (PTJ) yang jauh terpencil di tepi pantai. Jika mahu ke sana cuma ada dua cara, sama ada menaiki bot atau melalui trek berbukit yang agak jauh.
Dipendekkan cerita, Rosly tiba juga di Pusat Kajian Samudera & Pantai (CEMACS) USM pada tanggal 15 Julai 1986 kerana di situlah beliau sepatutnya ditempatkan mengikut keperluan ketika itu.
Menceritakan detik tiba di sana, beliau berkata: “Sebaik sampai, saya masih ingat ada seorang lelaki berambut afro mundar-mandir di perkarangan CEMACS dan seorang pengawal keselamatan berbangsa India yang nampak cukup garang mukanya.
“Masa tu saya sudah rasa tidak selesa, mungkin kerana riak wajah mereka yang garang dan tidak mesra. Saya terbayang macam mana saya hendak bekerja di sini. Saya hanya berusia 24 tahun dan perlu habiskan berkhidmat sehingga umur 55 tahun? Ishh teruk. Saya rasa hendak angkat beg dan lari pada hari itu juga tapi Alhamdulillah saya masih berfikir dengan baik.
“Saya duduk di bawah satu pokok di tepi pantai ketika hati saya berbolak-balik pada ketika itu. Kemudian seorang staf senior di CEMACS datang kepada saya dan memberikan nasihat, mengajak saya berbual-bual dan menceritakan serba sedikit mengenai CEMACS.
Dia kata di sini kita kena sesuaikan diri, kenal kawan-kawan dan bekerjalah dengan sepenuh hati. Jadi hajat untuk lari saya buang jauh-jauh,” katanya sambil ketawa kecil mengingat kisah lampau.
BERMULA TUGAS MULTITASKING DI CEMACS
Bercerita mengenai latar kerjaya, Rosly atau mesra disapa Cik Li berkata, tugas utamanya adalah menyelia segala aspek-aspek teknikal di CEMACS, termasuk memantau tugasan kejuruteraan elektrik, awam, teknikal dan sebagainya. Dari memastikan bekalan elektrik sentiasa sedia sehinggalah kepada kerja-kerja di luar bidang tugas seperti membuat landskap dan sebagainya.
Antara rutin Rosly yang kini telah dinaiktaraf ke jawatan Penolong Jurutera (JA 29) adalah memastikan bekalan kuasa tidak putus kerana di CEMACS, banyak kajian-kajian marin yang berharga dan ada di antaranya dibangunkan dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.
Walaupun itu bukan hasil kajian beliau, namun beliau tahu nilai dan kepentingannya kepada pembangunan ilmu dan dengan itu, beliau amat komited untuk sama-sama memastikan segala yang dibangunkan penyelidik di situ tidak musnah kerana faktor teknikal.
“Ada di antara kajian-kajian akan musnah sepenuhnya jika terputus bekalan walau hanya dua ke tiga minit. Justeru saya sedar, tugas saya bukan mudah. Jika di tempat lain di luar sana, mungkin cabarannya kurang namun di CEMACS, ia adalah antara cabaran yang paling getir buat saya.
“Bayangkan jika masalah teknikal berlaku di tengah malam, bukan mudah untuk terus tiba tepat pada masanya. Pernah satu ketika dahulu, saya mengajak jiran atau kawan-kawan melalui trek hutan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di CEMACS dengan hanya berbekalkan lampu suluh kerana bot tidak dapat menghantar kami.
“Itu semua adalah antara pengalaman mencari rezeki yang tidak akan saya lupakan,” katanya menceritakan perit getir menjalankan khidmat kepada Universiti.
Selain menyelia aspek teknikal, Cik Li turut membantu dalam memantau keadaan di blok penginapan, makmal, blok pentadbiran dan sebagainya.
Di CEMACS katanya, ada perkara yang tidak boleh bergantung kepada satu pihak semata-mata, sebaliknya kena sentiasa saling bantu-membantu kerana sumber adalah terhad.
“Kami sudah biasa berdikari dan kalau ada kerosakan kecil di mana-mana, ada juga yang kami baiki sendiri kerana faham keadaan di sini. Bukan semuanya lengkap seperti di tempat-tempat lain. Namun saya juga rasa agak gembira kerana ia membantu kami menggunakan sumber secara efisien, dalam masa yang sama meningkatkan kecekapan melakukan urusan harian di CEMACS,” ujar Cik Li.
PENGALAMAN TIDAK BOLEH DIBELI
Antara 1001 kisah yang dikongsi, Cik Li tidak akan lupa pengalaman bersama-sama membantu memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat peringkat kebangsaan di CEMACS, iaitu Mesyuarat Majlis Biodiversiti dan Bioteknologi Negara 2004, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dihadiri pemimpin-pemimpin utama negara.
Pada mulanya beliau menganggap ia satu perkara yang mustahil, namun dengan bimbingan pengurusan tertinggi USM, ketua jabatan dan rakan keluarga di CEMACS, mesyuarat berkenaan berlangsung dengan jayanya dan meninggalkan kenangan yang amat berharga buat dirinya.
“Saya tidak tidur selama dua hari berturut-turut sehingga ke hari berlangsungnya mesyuarat bagi memastikan semua persiapan mengikut jadual. Bukan hanya saya tapi ramai lagi rakan-rakan dan warga USM yang bersama-sama bertungkus-lumus menjayakannya.
“Macam saya kata, logistik untuk ke CEMACS bukan mudah dan banyak perkara yang perlu diambil berat untuk tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia termasuk aspek keselamatan, ketersediaaan bekalan, plan kontigensi dan sebagainya,” cerita beliau sambil memberitahu sebaik mesyuarat selesai, beliau demam keesokannya dek kerana terlalu keletihan.
Selain itu katanya, peluang mengikuti pelbagai siri jelajah CEMACS mempamerkan penyelidikan di merata-rata tempat turut memberikan kepuasan buat dirinya. Tambah pula, ada di antara pameran yang disertai berjaya membawa pulang pelbagai anugerah yang pastinya akan menjadi kenangan sepanjang hayatnya.
Beliau juga banyak mengikuti trip kajian lapangan di pulau-pulau dalam Malaysia dan ia sedikit sebanyak membuatkan bapa kepada lima cahaya mata yang kini dalam lingkungan umur di antara 19 hingga 23 tahun itu lebih menghargai khazanah semulajadi anugerah Pencipta.
RAHSIA KEKAL BERTUGAS 33 TAHUN DI CEMACS
“Rahsianya cuma satu iaitu untuk memastikan saya sentiasa bersemangat, saya cuma perlu menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan jadikan rakan-rakan sekerja sebagai satu keluarga.
“Kami di CEMACS bukanlah ramai dan bila masuk ke sini, kita tidak jadikan pangkat atau taraf seseorang sebagai ukuran. Pun begitu, ia tidak bermaksud boleh berbuat sesuka hati khususnya dengan ketua jabatan, cumanya untuk setiap aktiviti yang kami buat, kita laksanakan dengan ikhlas sebagai satu keluarga.
“Keseronokan bekerja, itulah perkara yang kita kena cuba cetuskan. Kita yang perlu adaptasi dengan keadaan sekeliling dan jangan jadikan kesusahan sebagai penghalang untuk kita gembira dalam menjalankan amanah.
“Kalau diikutkan memang seronok sangat berada di CEMACS kerana di sini tersimpan khazanah biodiversiti yang tidak ada tolok bandingnya. Tenang berada di sini, menghadap laut di hadapan dan hutan anugerah alam di belakang.
“Macam yang saya beritahu, jika yang suka kepada nature akan teruja duduk di sini. Bagi yang tidak suka pula, mereka boleh merasai pengalaman berbeza di CEMACS, jauh dari kesibukan bandar,” ujar beliau.
Rosly yang telah melayari alam rumahtangga bersama pasangannya, Rokiah Hashim, 48, bakal menamatkan kerjayanya dengan USM pada tahun 2022. Masih berbaki kurang tiga tahun untuk beliau terus menaburkan khidmat baktinya kepada CEMACS.
Sebelum sembang-sembang bersamanya berakhir, Cik Li turut menyuarakan perasaannya yang begitu sayangkan CEMACS.
Katanya, sejak dari awal penubuhan CEMACS yang hanya memuatkan satu bangunan, sehinggalah ke hari ini yang sarat dengan kisah kejayaan, banyak perkara yang dipelajari yang mengajar beliau erti pengalaman hidup.
“Saya amat berharap CEMACS terus maju jaya, berkembang lebih jauh dari hari ini dan dikenali di seluruh dunia. Bangga rasanya dapat menjadi sebahagian dari ahli keluarga CEMACS.
“Apa yang saya harapkan, baik kepada keluarga CEMACS sedia ada dan mana-mana ahli keluarga baru di masa akan datang, kekalkan silaturrahim yang dibina kerana rumah kedua ini adalah tempat kita mencari rezeki,” ujarnya sambil mengakui amat senang bekerja dengan rakan-rakan di pusat penyelidikan itu khususnya Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai yang disifatkan sangat komited dan sanggup bersusah-payah bersama staf-staf menjalankan amanah yang diberikan di CEMACS dengan sebaiknya.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan, Nor Amin Zainal Kamarudin & Mohamad Alif Ismail
- Created on .
- Hits: 1623