KERJASAMA USM DAN DATUK PROFESOR JIMMY CHOO, MODEL UNIK ILHAMKAN REKA BENTUK MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 17 Januari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Seni (PPS) membuka lembar 2020 dengan meneroka peluang kerjasama pintar bersama pereka tersohor antarabangsa kelahiran Malaysia, Datuk Profesor Jimmy Choo.
Dekan PPS, Dr. Mumtaz Begum Pv Aboo Backer berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Datuk Profesor Jimmy Choo melalui syarikatnya, ZYJ Holdings Sdn. Bhd. dan maklum balas yang diperoleh dari perbincangan itu memberikan impak amat positif buat bidang seni secara keseluruhannya.
Katanya, projek 'smart partnership' antara ZYJ Holdings dengan PPS antara lain berkisar kepada idea bagi mengangkat martabat bidang seni khususnya memperkasa seni reka bentuk masa hadapan.
“Projek ini masih lagi dalam peringkat perbincangan. Dengan adanya ikon seperti Datuk Profesor Jimmy Choo yang sudi menjalinkan kolaborasi dengan PPS USM, ini menandakan kepentingan bidang seni dan reka bentuk yang dapat memenuhi kehendak dan cita rasa masa hadapan.
“Beliau yang juga tertarik dan teruja dengan kewujudan PPS di USM turut menyatakan bahawa seni, reka bentuk perlu digabungkan dengan sains dan teknologi supaya sesuatu rekaan dapat dihasilkan dengan inovatif serta kreatif di samping berfungsi dan berkualiti,” ujar beliau.
Mumtaz turut menyuarakan keyakinan bahawa USM yang merupakan institusi yang mana kedua-dua bidang seni dan reka bentuk dan sains dapat memenuhi kehendak dan matlamat kolaborasi berkenaan, yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut oleh kedua-dua pihak dalam masa terdekat.
Teks asal & Foto: Dr. Mumtaz Begum Pv Aboo Backer/Suntingan: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1263