DEKAT UKHWAH: WUJUD 1 ALUMNI 1 BUKU
PULAU PINANG, 3 Mac 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Omar Osman menyarankan agar jalinan antara alumni USM dengan universiti dapat diperkukuhkan, salah satunya dengan cara mewujudkan program 1 Alumni 1 Buku.
Katanya, langkah tersebut cara termudah dalam memperkukuhkan jaringan alumni-universiti, selain boleh diperkembangkan kepada lain-lain program yang berskala lebih besar, seperti 1 alumni 1 biasiswa, 1 alumni 1 sumbangan dan sebagainya yang dapat mempertingkatkan pencapaian universiti.
``Ia ibarat kita menebar jala bagi mengurangkan jurang yang wujud di antara lebih 200,000 alumni kita di serata tempat dengan universiti. Kita akan dapatkan mereka untuk bersama dengan universiti dan ia akan bermula dengan program yang kecil seperti 1 alumni 1 buku ini,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung AUSM kali ke-17 di Dewan Persidangan Universiti, di sini baru-baru ini.
Pada penggal 2013/2015 ahli sebulat suara melantik Mohamed Talhah Idrus sebagai Presiden menggantikan Dato' Syed Jamal Syed Jaafar. Seramai 13 lagi alumni dari pelbagai bidang dilantik menjawat beberapa lagi jawatan tertinggi untuk menyokong kepimpinan presiden.
Dalam pada itu, Omar turut mengumumkan bahawa pihak universiti akan memberikan sumbangan kepada Persatuan Alumni USM (AUSM) sebanyak RM15,000 bagi membantu menjalankan aktiviti-aktiviti alumni.
Universiti tidak seharusnya membiarkan AUSM dan juga chapter-chapter untuk berdikari kerana beliau menyifatkan alumni adalah aset universiti samada di dalam atau luar negara.
"Alumni adalah duta universiti terutamanya yang berada di luar kampus. Oleh yang demikian kita akan mewujudkan Ikon Alumni daripada pelbagai bidang supaya mereka ini akan menjadi penggerak dan rujukan kepada setiap alumni," kata Omar.
Beliau juga mencadangkan beberapa aktiviti yang perlu diteruskan seperti Program Balikampus, Sirih Pulang ke Gagang selain mencadangkan aktiviti baru seperti Satu Alumni, Satu Buku.
Selepas mesyuarat agung para alumni di bawa melawat Pusat NADI USM dan juga mengikuti perbincangan mengenai hala tuju alumni bersama Naib Canselor dan juga Pengarah, Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni, Mohamad Abdullah.
Selain itu, semua alumni berpeluang melawat Anjung Jannatun (kediaman rasmi Naib Canselor) dan diraikan dalam satu majlis minum petang yang sederhana.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pendaftar, Siti Zubaidah A.Hamid, wakil presiden Alumni Sabah, Augustine Ong dan juga wakil Persatuan Alumni Doktor (PADU). Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa, Yong Check Yoon.
- Created on .
- Hits: 2078