USM TERIMA KUNJUNGAN SAYLING WEN CULTURAL & EDUCATION FOUNDATION, TAIWAN
TELUK BAHANG, PULAU PINANG, 8 Januari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan hormat delegasi Sayling Wen Cultural & Education Foundation, Taiwan bagi mengenalpasti kolaborasi strategik dan hubungan dua hala bagi memajukan sektor pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
Delegasi diketuai Pengarah Eksekutif Sayling Wen Cultural & Education Foundation Taiwan, Jeter Her; Pengurus Projek, Nora Liu dan kakitangan akademik, Profesor Madya Dr. Cheng Kun Chung bersama dua orang pegawai dari The Association of Global Industry Academia Collaboration Malaysia, Kevin Peng (Presiden) dan Jennie Chen (Setiausaha) hadir bagi melihat kemudahan dan infrastruktur penyelidikan yang dimiliki USM bagi tujuan terbabit.
Kunjungan ini melibatkan lawatan ke pusat penyelidikan samudera tertua di Malaysia, Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM di Teluk Bahang dan beberapa lokasi di sekitar kampus induk termasuk bangunan TORAY pada 5 Januari lalu.
Menurut Pengarah CEMACS, Profesor Dato' Dr. Aileen Tan Shau Hwai, CEMACS amat mengalu-alukan kehadiran delegasi tersebut dan mengharapkan hasil lawatan ini dapat melahirkan kerjasama yang kukuh dalam apa juga membabitkan pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.
“Sedia maklum Sayling Wen Cultural & Education Foundation Taiwan ini merupakan yayasan yang berupaya menyalurkan khidmat kepakaran, latihan industri dan profesional di peringkat dalam dan luar negara bersesuaian dengan kehendak teknologi masa kini, atas sebab itu kerjasama di antara USM dan Yayasan ini amat penting sejajar dengan hasrat USM melahirkan graduan yang holisitik di persada dunia,” katanya ketika ditemui selepas sesi kunjungan.
Pada majlis yang sama, Jeter Her menyifatkan kunjungan hormat ke CEMACS USM dapat membuka ruang kerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan yang dilaksanakan CEMACS sekaligus perancangan rapi antara kedua-dua pihak akan dibuat.
“Pihak Sayling Wen Cultural & Education Foundation amat berpuas hati dengan kemudahan, prasarana dan kualiti penyelidikan yang disediakan oleh pihak CEMACS USM, jadi kita akan meneliti apa yang sepatutnya direncanakan bagi memajukan lagi penyelidikan dan pembangunan bersama,” katanya.
Tambah beliau, Yayasan ini berharap dapat bekerjasama dengan USM bagi membina platform pintar yang menghubungkan industri perkhidmatan yang hebat kepada bakat profesional yang diperlukan oleh kedua-dua buah negara.
Pada sesi lawatan tersebut, delegasi turut dibawa melawat makmal penyelidikan hidupan laut seperti gamat, obor-obor, kerang, terumbu karang dll. termasuk kemudahan penginapan yang disediakan CEMACS.
Delegasi Taiwan itu turut diberi penerangan berkenaan dengan penternakan/akuakultur tiram secara komersial dan penanaman anggur laut (sejenis rumpai laut) yang diusahakan di CEMACS.
Turut hadir ialah Pengarah Jaringan Industri USM, Profesor Madya Dr. Yeoh Fei Yee.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 798