USM, KOLEJ EQUATOR TERUS KUKUHKAN KERJASAMA TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN

EAM 5522 edited edited

USM PULAU PINANG, 9 Januari 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah mengukuhkan jalinan kerjasama dengan rakan strategik domestik iaitu Kolej Equator melalui satu Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai dalam satu majlis di sini hari ini.

MoA berkenaan menjadi simbol hubungan erat antara kedua-dua institusi yang memberi fokus kepada bidang seni melalui kerjasama Pusat Pengajian Seni USM bersama Kolej Equator untuk program luar pesisir Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) Komunikasi Grafik.

Ia merupakan kerjasama kedua dalam penawaran program ijazah pertama setelah kejayaan pertama telah dilakukan oleh Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM bersama Kolej tersebut.

Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md Roslan Hashim berkata, kerjasama antara dua institusi ini sangat strategik untuk jangka pendek dan panjang selari dengan kelangsungan USM yang mengorak langkah kepakaran yang ada untuk negara di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan bidang ini.

“Melalui kolaborasi strategik ini, usahasama berterusan dapat diperkukuh menerusi pembangunan inisiatif yang mapan serta saya yakin kebaikan sentiasa menunggu untuk dituai,” ujarnya yang hadir mewakili Naib Canselor USM.

Tambahnya, dengan kebolehan dan pengalaman Kolej Equator bersama para pensyarahnya yang berkaliber, mereka akan meneroka lembaran baru pasaran pendidikan di samping mengangkat status program ini ke tahap yang lebih tinggi.

EAM 5513 edited

Dalam pada itu, Pengetua Kolej Equator, Dr. Michael Yap Sau Moi pula menegaskan MoA kedua bersama USM ini sangat membanggakan buatnya kerana ia dapat meningkatkan reputasi dan kualiti kolej ini bersama USM kerana ia merupakan kursus yang amat unik dan mempunyai nilai di pasaran pekerjaan.

“Semoga manfaat dan peluang bersama dapat dinikmati oleh pelajar USM dan pelajar di seluruh Pulau Pinang melalui kolaborasi unik ini,” jelasnya.

Pemilihan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) Komunikasi Grafik sebagai program luar pesisir oleh Kolej Equator merupakan pilihan yang tepat kerana bidang ini merupakan antara bidang yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi, seperti mana pada sidang 2018/2019 hampir 80% graduan USM mendapat pekerjaan melaluinya.

Turut hadir adalah Pengerusi Kolej Equator, Dato’ Chuah Kooi Yong; Dekan Pusat Pengajian Seni, Dr. Mumtaz Begum Aboo Backer; dan Timbalan Dekan (Akademik, Pembangunan Kerjaya & Antarabangsa) Pusat Pengajian Seni, Dr. Mohammad Khizal Mohd Saat.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015