USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-YIPP JALIN USAHASAMA PROGRAM INTERVENSI HALATUJU INKLUSIF (PRIHATIN)

EAM 5486 edited

PULAU PINANG, 6 Januari 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pengurusan (PPP) dan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama strategik dalam usaha memperkasa program komuniti yang dapat meningkatkan tahap ekonomi golongan B40.

Kolaborasi strategik berkenaan berkisar kepada pembangunan program PRIHATIN - “Intervensi Halatuju Inklusif” yang memperlihatkan libatsama antara universiti, agensi dan komuniti bagi membina hubungan kukuh dan mantap demi kesejahteraan sosio-ekonomi Malaysia.

EAM 5483 edited

Melalui kerjasama itu juga, USM dan YIPP komited untuk memperkasa tahap ekonomi peserta dari golongan B40 supaya mereka dapat memajukan diri dan keluarga serta meningkatkan pengetahuan dan tahap kemahiran melalui latihan khusus kemahiran teknikal dan pengurusan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor  Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program ini disasarkan kepada 20 peserta dalam kalangan komuniti golongan B40 yang berpendapatan isirumah purata di bawah RM3,860.00.

“Antara komuniti yang dikenal pasti adalah dari Kampung Guar Kepayang, Sg Dua; Kampung Permatang Sungai Dua, Sg. Dua dan Pulau Betong, Balik Pulau,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM pada majlis penandatanganan MoA yang diadakan di sini baru-baru ini.

EAM 5476 edited

Dekan PPP, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad pula menjelaskan, buat permulaan program ini akan dianjurkan setiap empat bulan sekali selama setahun (3 kohort untuk setahun).

“Untuk setiap kohort, ia akan melibatkan 20 peserta dan terdapat dua modul utama iaitu Modul Pengurusan dan Modul Kemahiran. Untuk Modul Pengurusan, program ini akan memberi penekanan kepada pengisian dan struktur gerak kerja.

EAM 5464 edited

“Peserta kursus akan menjalani kursus anjuran PPP USM manakala untuk Modul Kemahiran peserta terpilih akan menjalani salah satu kursus kemahiran jangka pendek bersama GIATMARA PRIMA Tasek Gelugor,” katanya.

Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Pengerusi YIPP, Dato’ Mansor Othman; Pengurus Besar YIPP, Muhammad Anuar Abdul Hamid dan pegawai-pegawai utama USM dan YIPP.

Teks: Nurul Huda Abdullah/ Foto: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 834

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024