USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LOJI MINI BIOGAS USM DILANCAR: JANA ELEKTRIK DARI SISA MAKANAN DALAM KAMPUS

usmbio1

PULAU PINANG, 1 Mac 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kolaborasi strategik bersama rakan industri, Enerbon Sdn. Bhd melancarkan loji mini biogas yang berupaya menghasilkan bekalan kuasa elektrik sehingga 600kwh (maksimum) sehari, di sini hari ini.

Pun begitu, bagi pilot projek yang dibangunkan di USM itu, secara minimum dianggarkan dari 400 kilogram sisa makanan yang dipungut, ia berupaya membekalkan kuasa elektrik 100kwh, bersamaan dengan kegunaan elektrik untuk 30 buah rumah atau keperluan sehingga 150 individu sehari.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, matlamat utama penyediaan loji tersebut di dalam kampus adalah untuk membangunkan satu kajian terperinci ke arah menyalurkan kepakaran akademia-industri untuk manfaat komuniti terkebawah.

Katanya, loji berkenaan direkabentuk mengikut standard industri namun diubahsuai kepada skala yang lebih kecil untuk kegunaan kawasan terpencil atau luar bandar, dengan mengambil kira purata penduduk dalam lingkungan sehingga 500 orang.

``Loji ini berfungsi dengan konsep zero waste yang mana sisa rumput dipotong serta sisa makanan yang diperoleh dari semua kafetaria dan premis makanan dalam kampus dimasukkan ke dalam tangki untuk diproses.

``Sisa makanan tersebut pula akan dipecahkan melalui proses biologi sehingga menghasilkan gas metana, yang berupaya menjana tenaga elektrik dan biogas yang dimasukkan semula ke grid bekalan kuasa elektrik USM,’’ ujar beliau.

usmbio2

 Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Loji Mini Biogas tersebut di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Urusan Enerbon Sdn. Bhd, Martin Schmidt dan Penyelaras Projek, Prof. Madya Nik Fuaad Nik Ab Llah.

Omar turut berkata, lebih lestari, setelah tamat proses penjanaan kuasa elektrik, sisa yang tinggal akan menjadi baja yang akan digunakan semula oleh bahagian landskap, Pejabat Pembangunan USM untuk kerja-kerja rekabentuk landskap dalam kampus.

Beliau juga berkata, inisiatif gabungan USM, ENERBON dan USAINS Holdings Sdn. Bhd. tersebut turut mencerminkan komitmen USM dalam membudayakan kelestarian dalam kehidupan harian.

``Kita menggalakkan usahasama seperti ini yang mana pihak industri datang kepada universiti menawarkan kepakaran mereka yang digabungkan dengan kepakaran penyelidik tempatan untuk menghasilkan produk yang dapat memperkasa kehidupan masyarakat.

``Ini cara baru kita membangunkan produk-produk penyelidikan kerana pihak industri berpotensi melaburkan dana yang berskala besar manakala universiti pula mempunyai para penyelidik berkepakaran tinggi,’’ katanya.

Dalam pada itu, loji yang dihasilkan dengan kos RM2 juta itu ditempatkan di USM secara percuma oleh Enerbon, syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi diperbaharui dari Jerman sebagai sumbangan dalam menjalankan kajian bersama USM.

Melalui usahasama itu, kedua-dua pihak akan mempromosikan penggunaan kemudahan tersebut melalui penagnjuran seminar, bengkel dan latihan kepada pelanggan yang berminat untuk membangunkan teknologi seumpamanya di kawasan mereka. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Is

 

 

  • Created on .
  • Hits: 3127

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024