NC USM LAKUKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG
PULAU PINANG, 11 Disember 2019 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang T.Y.T. Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas di kediaman rasmi T.Y.T. Tun iaitu Seri Mutiara.
Yang turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, YABhg. Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Shariff.
Ini merupakan pertemuan pertama Faisal Rafiq dengan T.Y.T. Tun sejak beliau menjadi Naib Canselor USM yang kelapan pada bulan Oktober lalu.
Kunjungan Naib Canselor USM itu turut disertai oleh isterinya Mazarisusanty Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Pendaftar, Dr. Musa Ali dan Ombudsman, Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar.
Dalam pertemuan selama hampir satu jam tersebut, Naib Canselor menjelaskan tentang perkembangan semasa USM dan bagaimana USM dapat berkongsi sumber dan kepakarannya untuk bersama-sama membangunkan Negeri Pulau Pinang serta bertukar-tukar pandangan tentang pendidikan tinggi negara khususnya yang berkait dengan peranan USM.
"Saya berharap Naib Canselor dan pengurusan tertinggi USM akan terus bekerja keras untuk membawa USM mencapai kejayaan yang lebih besar lagi pada masa hadapan," kata T.Y.T Tun.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa & Nor Amin Zainal Kamarudin
- Created on .
- Hits: 1365