USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, KUPU SB METERAI MOU, LEBARKAN JARINGAN KERJASAMA PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN

Brunei Press copy

Foto: Ihsan dari Media Permata (Brunei Press Sdn Bhd)

PULAU PINANG, 10 November 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melebarkan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan pada peringkat antarabangsa dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada 4 November lalu di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Sesi memeterai MoU tersebut diadakan semasa berlangsungnya Majlis Malam Penghargaan Persidangan Libat Sama Komuniti Universiti (UCEC) ke-6 bagi meraikan delegasi dan peserta persidangan yang dihoskan oleh KUPU SB dan diadakan dengan kerjasama USM.

Menandatangani bagi pihak USM ialah Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan manakala KUPU SB diwakili oleh Ra’es, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Penandatanganan MoU tersebut menjadi titik permulaan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi pengajian tinggi berkenaan dalam bidang pendidikan dan perguruan termasuk mobiliti pelajar, aktiviti perundingan (consultation); penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta perkongsian bersama ilmu pengetahuan, bakat dan kepakaran staf akademik dan bukan akademik.

Menurut Naib Canselor USM, jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memberi dorongan tambahan kepada semua yang terlibat untuk bekerjasama dengan lebih efektif demi mencapai manfaat bersama selain mampu meningkatkan aktiviti pengantarabangsaan dalam bidang akademik mahupun penyelidikan.

Naib Canselor mengetuai delegasi USM menghadiri Persidangan Libat Sama Komuniti Universiti (UCEC) ke-6, salah satu daripada aktiviti utama rangkaian libat sama serantau Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN) yang digerakkan oleh USM, yang mana KUPU SB merupakan ahli aktif sejak 2014.

Antara delegasi USM yang turut serta ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Eksekutif APUCEN, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai; Pengarah Jaringan Komuniti, Tuan Syed Yusof Syed Kechik dan beberapa pensyarah.  

Persidangan yang berlangsung selama 3 hari (4-6 November 2019) itu dihoskan oleh KUPU SB buat pertama kalinya pada tahun ini, dan mendapat penyertaan hampir 250 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Filipina (9 orang), Indonesia (25), Jepun (8), Jerman (3), Malaysia (53), Thailand (9), Vietnam (10) dan tuan rumah Brunei (133).

Dengan tema Navigating Community Engagement: Charting the Course for 21st Century, dua kertas kerja utama (keynote) dan 31 daripada 66 kertas kerja yang didaftarkan dan diterima masuk ke dalam International e-Journal of Community and Industry Engagement, APUCEN, telah dibincangkan dalam sesi pembentangan selari persidangan tersebut, yang turut memuatkan lima pembentangan poster.

Persidangan UCEC ke-6 bermatlamat bagi mewujudkan satu platform perbincangan dan perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman pelaksanaan libat sama komuniti universiti terutama kaedah pendekatan yang bersesuaian dalam konteks negara masing-masing.

Selain itu, ia diharapkan dapat memperkukuhkan peranan sebuah universiti sebagai agen pengubah (change agents) ke arah peningkatan dan kesejahteraan taraf hidup sosial dan ekonomi komuniti demi kelestarian hari esok.

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan dari Media Permata (Brunei Press Sdn Bhd)

  • Created on .
  • Hits: 897

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024