USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

OASIS 2019: CURAHAN KREATIVITI PENSYARAH PUSAT PENGAJIAN SENI USM

 

8897DFEA 247C 4054 9CDF 06F24201CBDA
PULAU PINANG, 24 Disember 2019 – OASIS 2019 sekali lagi mencuri tumpuan dengan persembahan hasil seni kreatif terpilih yang ditonjolkan oleh para pensyarah Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM).

Sejak ia pertama kali dianjurkan pada tahun 2003, OASIS atau 'Of Art & Science in Society' merupakan platform buat pensyarah dan kurator di Pusat Pengajian Seni menyampaikan hasil seni mereka melalui hasil-hasil karya unik untuk tatapan warga kampus dan masyarakat secara keseluruhan.

885714B6 4EAF 43D1 9819 BEFBA1C36AF6Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pameran seperti itu amat baik buat para pensyarah yang bukan sahaja mengajar dan mendidik pelajar, malah mampu membuktikan hasil karya seni mereka boleh dijadikan contoh dan panduan kepada pelajar dan masyarakat keseluruhannya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pusat Pengajian Seni kerana berjaya menghimpunkan hasil seni oleh 21 orang pensyarah Pusat Pengajian Seni yang terdiri daripada pelbagai bidang kepakaran seperti Seni Halus, Reka Bentuk Grafik & Komunikasi, Reka Bentuk Media Baru & Teknologi, Drama & Teater serta Reka Bentuk Produk,” katanya ketika merasmikan Pameran Oasis 2019 yang diadakan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah, USM baru-baru ini.

8EBBE63F FA6A 4063 BC23 72F4EAB21C6E

Tambahnya, dengan adanya pameran sebegini ia dapat menyuburkan keseimbangan antara bidang seni dan bidang sains, malah kedua-dua bidang ini seharusnya bergandingan dan bergerak seiring serta saling melengkapi agar sejajar dengan hasrat dan pembangunan USM.

“Saya berbangga kerana Pusat Pengajian Seni USM berjaya mengadakan pameran seperti ini, pameran yang menampakkan nilai kreativiti oleh pengilmuan seni yang ditonjolkan melalui setiap karya peserta yang dipamerkan,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi karya-karya yang dipamerkan itu, sebahagiannya terdiri daripada penyelidikan-penyelidikan terpilih dan ada juga yang merupakan praktis profesional yang sudah menjadi amalan dan kepakaran masing-masing.

 B3EA85E6 05A6 4711 8062 9A123FC01BC9

Yang turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Seni, Dr. Mumtaz Begum Aboo Backer; Pengarah Muzium & Galeri Tuanku Fauziah, Zolkurnian Hassan; Pengerusi Bahagian Seni Halus, Pusat Pengajian Seni, Dr. Tetriana Ahmed Fauzi; Kurator Pameran OASIS 2019, Norshahidan Mohamad serta para pensyarah Pusat Pengajian Seni USM.

Antara pensyarah yang turut sama berkongsi hasil karya mereka adalah Goh Chu Hiang, Hasnul Jamal Saidon, Husaini Yaacob, Julina Ismail@Kamal, Mohammad Kamal Sabran, Mohammad Khizal Mohamed Saat, Mohd Alif Ikrami Mutti, Mohd Asyiek Mat Desa, Mohd Najib Abdullah Sani, Muhammad Hafiz Wan Rosli, Norfarizah Mohd Bakhir, Norshahidan Mohamad, Nur Zaidi Azraai, Nurul Hanim Md Romainoor, Roslan Chin, Safia Najwa Suhaimi, Safrizal Shahir, Shamsu Mohamad, Siti Suhaily Surip, Tetriana Ahmed Fauzi dan Nur Hilyati Ramli.

Kepada peminat seni dan visual tanah air, anda dijemput hadir bagi memeriahkan pameran ini yang diadakan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah bermula 16 Disember 2019 sehingga 28 Januari 2020, jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang (tutup Sabtu, Ahad dan cuti umum).

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohamad Zaidi Jaini & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1259

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024