10 TAHUN BEKERJASAMA DENGAN KOMUNITI LEPAI
ALOR SETAR, 21 Disember 2019 – Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) telah 10 tahun bekerjasama dengan komuniti Mukim Lepai, Alor Setar dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan secara gotong-royong.
Baru-baru ini, Pusat Islam menganjurkan Jalinan Mahabbah USM Bersama Komuniti Lepai 2019 dan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim.
“Aktiviti sebegini sangat digalakkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk keluar membantu masyarakat bukan sahaja di dalam kariah malah luar dari kawasan kariah,” kata Md. Roslan yang turut aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pusat Islam yang telah menjalinkan kerjasama yang lama dengan komuniti di sini sehingga dapat mendirikan sebuah dewan di Masjid Nurul Huda ini,” tambahnya yang turut menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk ‘Melestarikan Masjid’.
Di samping itu, menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, kerjasama dengan penduduk setempat ini telah mula sejak tahun 2009 dengan penubuhan tabung untuk pelbagai bantuan termasuk untuk sumbangan di bulan Ramadhan dan sebagainya.
Bersempena dengan program ini, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk pameran teknologi dron, pertandingan gubahan bunga dan tuala, sukaneka dan sukan rakyat, Bengkel Perancangan Strategik Qaryah Bersama Pendaftar USM, kenduri kesyukuran dan Forum Bicara Santai.
Turut hadir ialah Pendaftar USM, Dr. Musa Ali; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohamad Syukri Osman; Penolong Pengarah Pusat Islam USM merangkap Setiausaha Program Jalinan Mahabbah USM bersama komuniti Lepai 2019, Ustaz Nukman Ahmad Zakir; Imam Masjid Nurul Huda, Ustaz Abdullah Ramli serta seluruh anak kariah Lepai, Alor Setar.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 1044