USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN CUNGKIL BAKAT TERPENDAM GENERASI MUDA DALAM ABAKUS, ARITMETIK MENTAL DAN MATEMATIK

OPA 0908 copy

USM PULAU PINANG, 17 Disember 2019 – Program 2019 Malaysia Abacus & Mental Arithmetic and Mathematics Competition merupakan platform yang amat baik untuk mencungkil bakat-bakat terpendam generasi muda dalam bidang Abakus, Aritmetik Mental dan Matematik.

Penolong Pengarah (Sains, Matematik dan Teknologi), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Shamsir Jemain berkata, pertandingan itu bukan sahaja membantu dalam perkembangan otak dan secara keseluruhan membentuk kestabilan minda generasi muda, malah ia juga mempertajam pemikiran kritikal seseorang individu.

“Selain itu, ia juga mampu menarik minat kanak-kanak seawal umur 5 tahun terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selaras dengan hasrat kerajaan bagi melahirkan pelajar yang berdaya saing mendepani Industri 4.0,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian bagi program tersebut di sini baru-baru ini.

Seramai 398 peserta terdiri daripada pelajar (berusia 5-19 tahun) Tadika, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah dari tujuh buah negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kedah, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak menyertai pertandingan tahun ini.

Pertandingan terbahagi kepada dua bahagian, dengan 352 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan Aritmetik Mental dan 169 peserta mengambil bahagian dalam Olympiad Matematik.

OPA 1032

Dalam pada itu, Pengerusi Pertandingan, Profesor Madya Dr. Lim Hwee San, yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) Pusat Pengajian Sains Fizik USM berkata, kebiasaannya penyertaan pertandingan Aritmetik Mental terdiri daripada pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) sahaja, namun buat julung kalinya terdapat lapan peserta dari Sekolah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani turut menyertai pertandingan pada tahun ini.

Selain Shamsir, majlis penyampaian hadiah turut disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Fizik, Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz dan Presiden Penang Teach Art Circle (PTAC), Teh Ee Ming.

Program 2019 Malaysia Abacus & Mental Arithmetic and Mathematics Competition dianjur oleh Pusat Pengajian Sains Fizik USM dengan kerjasama Smart Newton dan Akademi Matematik Minda (myMaths).

Antara aktiviti menarik yang turut diadakan ialah bengkel berteraskan unsur fizik iaitu ‘Physics of Painting’ yang diadakan buat pertama kali di USM, dan dikendalikan oleh Ee Ming yang juga Penolong Kanan Kokurikulum di SMJK Chung Ling, Pulau Pinang.

Suntingan teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan Pusat Pengajian Sains Fizik USM

  • Created on .
  • Hits: 1566

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024