GRADUAN DISARAN PERKASAKAN MNC TEMPATAN
USM PULAU PINANG, 16 Disember 2019 – Graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) khususnya Universiti Sains Malaysia (USM) disaran untuk mengambil peluang membina kerjaya dan bersama-sama membangunkan syarikat multinasional (MNC) tempatan berbanding menyertai syarikat gergasi dari luar.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif VITROX Corporation Berhad, Chu Jenn Weng berkata, syarikat seperti VITROX teruja untuk mendapatkan graduan-graduan yang mempunyai set pemikiran yang meletakkan kepentingan membangunkan negara seiring membina kerjaya.
Katanya, jika ramai graduan mahu menyertai MNC tempatan, ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan kedudukan organisasi, sekaligus dapat membantu memperkasa ekonomi negara dan merealisasikan harapan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
“Syarikat-syarikat dari luar datang dan pergi khususnya apabila mereka mendapat peluang pelaburan lebih baik di negara lain, namun MNC tempatan akan terus bertahan di sini. Justeru adalah lebih bermanfaat jika graduan dapat mengambil peluang ini dan membangun bersama MNC tempatan,” ujarnya.
Chu yang juga alumni USM berkata, VITROX turut berharap agar graduan IPT dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan terkini dan mengikuti perkembangan pesat teknologi supaya aspek pengukuhan kemahiran dapat dijalankan dengan baik khususnya ketika mereka mula melangkah ke dunia kerjaya kelak.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) dengan USM melalui Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK) di sini baru-baru ini.
Pengarah Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Tuan Syed Yusof Syed Kechik hadir bagi pihak Naib Canselor USM dan menandatangan dokumen MoA berkenaan. Turut hadir ialah Dekan PPSK, Profesor Dr. Rosni Abdullah dan Pengurus (Pengurusan Manusia) VITROX, Yeoh Siew Eng.
Rosni dalam ucapannya pula berkata, kerjasama dengan VITROX telah lama terjalin dan ia turut dizahirkan dengan beberapa siri kejayaan, antaranya pengenalan kepada unit DGX (sumbangan VITROX) yang digunakan secara meluas oleh PPSK, selain komitmen tinggi VITROX dalam program internship/latihan industri serta pengambilan graduan menyertai syarikat berkenaan.
“Tahun ini pula VITROX turut menyumbangkan Hadiah Buku bernilai RM10,000, antara hadiah berprestij yang dianugerahkan kepada pelajar terbaik jurusan Sains Komputer sempena Upacara Konvokesyen USM 2020 kelak.
“Kerjasama berkenaan juga bukan terhad kepada pembangunan akademik semata-mata, malah VITROX turut menyumbang pokok-pokok hidroponik, antara inisiatif memelihara alam semulajadi yang dijadikan projek permulaan buat pelajar tahun 1 PPSK di bawah Program Siswa Lestari USM,” katanya.
Rosni dalam ucapannya turut berharap agar kerjasama berkenaan dapat memperkasakan manfaat bersama antara kedua-dua pihak walaupun pada asasnya teras dan keperluan di antara USM dan VITROX adalah berbeza, namun dengan adanya kolaborasi mantap ia dapat memenuhi kehendak dan jangkaan antara satu sama lain.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 855