USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPK USM PERLUAS KERJASAMA KUKUHKAN PROGRAM PENDIDIKAN

CDH 7639 edited edited

PULAU PINANG, 10 Disember 2019 – Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) komited mengukuhkan program pendidikan yang ditawarkan dengan meluaskan kolaborasinya bersama pihak industri dan rakan strategik luar negara.

Inisiatif untuk memperkasa, menyokong dan memperkayakan aktiviti program pendidikan, penyelidikan, latihan dan sebagainya itu dibangunkan melalui satu memorandum perjanjian (MoA) yang dimeterai dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia di sini hari ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, MoA di antara PPK bersama FINAS dan UGM itu diharapkan dapat membuahkan manfaat bersama dan perkongsian amalan terbaik yang dapat membantu meningkatkan pencapaian di antara ketiga-tiga pihak.

Sebagai contoh katanya, MoA USM dengan FINAS dilihat dapat membangunkan bakat dan modal insan dalam kalangan pelajar USM sebagai sebahagian daripada pemain industri dan kandungan kreatif negara.

“Peluang kerjasama ini boleh dilaksanakan melalui penganjuran bengkel latihan atau program “Master’s Class” yang membawa kepada peningkatan pengetahuan dan kemahiran.

“Dengan kedudukan USM yang terletak di utara, kerjasama ini diharapkan dapat menjadikan USM khususnya PPK sebagai hub kawasan utara bagi menyalurkan pelbagai maklumat dan menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan filem dan kandungan kreatif yang dilihat dapat dimanfaatkan oleh pelbagai pihak lain di kawasan utara ini,” katanya.

Abdul Rahman juga berkata, kerjasama USM dan UGM pula yang merangkumi aspek pertukaran pelajar dan staf, meneroka kerjasama penyelidikan, penerbitan dan program akademik, penganjuran bengkel, seminar dan projek libatsama komuniti, turut diharapkan dapat memperkasa dan mengukuhkan program pendidikan bidang itu di kedua-dua buah institusi.

“Diharapkan juga kolaborasi sebegini dapat memantapkan lagi jaringan USM dengan institusi akademik terkemuka di rantau Asia Tenggara bagi sama-sama membangun dan melestarikan bidang pendidikan dalam era yang semakin mencabar ini,” ujar beliau lagi.

Terdahulu, Abdul Rahman yang mewakili Naib Canselor USM menandatangan MoA berkenaan. Pihak FINAS diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Produksi & Teknikal), Subaidah Mat Top manakala UGM pula diwakili oleh Dekan Fakulti Sosial dan Sains Politik, Profesor Dr. Erwan Agus Purwanto.

USM sebagai sebuah universiti yang dinamik dan berdaya saing, sentiasa berusaha dalam meningkatkan dan mengukuhkan program pendidikannya dengan mengambil pelbagai inisiatif bagi melengkapi kecemerlangan pendidikannya.

Dengan kemudahan penyelidikan dan pengajaran, pengalaman dan pasukan pakar dari pelbagai disiplin dari kalangan staf, USM telah membuat pelbagai perjanjian kerjasama dengan pihak luar dalam usahanya untuk meningkatkan dan memperkuat rangkaian jaringannya.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Mohamad Zaidi Jaini

  • Created on .
  • Hits: 1098

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024