USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKARELAWAN, ANAK YATIM DIRAI DALAM MALAM RUMPUN SENI

usmrumpun1

PERLIS, 20 Feb.2013 – Sekumpulan 60 Sukarelawan dari Kor Sukarelawan dan Sekretariat IM4U, Universiti Sains Malaysia (USM) dan anak-anak Yatim di sekitar negeri diraikan dalam majlis makan malam khas Malam Rumpun Seni yang diadakan di Hotel Putra Palace, Kangar di sini baru-baru ini.

Lebih istimewa, majlis tersebut turut mendapat perkenan keberangkatan Raja Perlis merangkap Tuanku Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid.

Malam Rumpun Seni turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Dr. Md Isa bin Sabu, ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti termasuk Pengerusinya, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan dan pegawai-pegawai utama universiti diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman.

Omar dalam ucapannya berkata, majlis khas tersebut diadakan bertujuan meraikan Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Gabenor dan dalam masa yang sama mengiktiraf sumbangan para sukarelawan dan budayawan USM.

usmrumpun2

Katanya, pihak universiti berpendapat bahawa sebagi sebuah menara ilmu, warganya perlu membina satu budaya untuk lebih banyak memberi dari menerima, bekerja dengan mata hati,  bertindak dan melakukan sesuatu termasuk membudayakan ilmu dengan kalbu.

``Kita mencari keberkatan dan menjaga hubungan sesama insan dengan keikhlasan dan tentunya  bekerja bersama-sama untuk memberi apa sahaja khidmat bakti bukan sahaja kepada universiti dan institusi sendiri, malah yang utama kepada komuniti yang lebih luas,’’ ujarnya.

Tambah beliau, USM berusaha keras untuk menghakupayakan segenap golongan, terutamanya para ilmuan dan belia untuk memberikan khidmat sukarela dari yang sekecil-kecilnya.

``Antara usaha itu termasuk membersihkan kawasan sekitar, membantu mereka yang memerlukan termasuk orang kelainan upaya, anak-anak yatim, warga terbiar sehinggalah kepada usaha-usaha yang lebih besar seperti yang dibuat oleh beberapa pusat pengajian yang melakukan pembedahan bibir sumbing percuma di Bangladesh dan Indonesia,’’ katanya.

usmrumpun3

Omar juga berkata, penubuhan Kor Sukarelawan USM yang bukan sahaja melibatkan mahasiswa tetapi juga anak-anak muda dalam kalangan para pegawai dan ahli akademik Universiti adalah antara langkah pembudayaan semangat ini dan satu interpretasi untuk bekerja bersama-sama dengan tulus ikhlas untuk orang lain.

Dalam pada itu, Tuanku Canselor turut berkenan menyempurnakan upacara pelancaran rasmi buku yang diterbitkan khas oleh USM melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) bertajuk Volunteerism in Malaysia: Fostering Civic Responsibility.

Malam Rumpun Seni tersebut yang memperlihatkan kesungguhan kumpulan Seni Budaya Dewan Budaya USM dalam menghiburkan tetamu turut meraikan ulangtahun perkahwinan Diraja Ke-46. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 2650

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024