USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH KERJASAMA DENGAN NUMS, PAKISTAN

National University of Medical Sciences

PULAU PINANG, 3 Disember 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengukuhkan kolaborasi dengan rakan strategik antarabangsa dari National University of Medical Sciences (NUMS), Lahore, Pakistan melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dalam satu majlis khas di sini semalam.

MoU berkenaan antara lain menjadi simbolik kepada hubungan dua hala yang telah sedia terjalin di antara kedua-dua pihak khususnya dalam aspek mobiliti pelajar, penyelidikan bersama dan sebagainya.

eEAM 2878

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapannya berkata, MoU berkenaan menjadi platform untuk penerokaan pelbagai lagi peluang kerjasama dan perkongsian manfaat melalui kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak.

“Kita berharap kerjasama ini akan dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya dalam merintis peluang mewujudkan program akademik secara bersama dan peluang-peluang kerjasama penyelidikan yang lain,” ujarnya.

Naib Canselor USM itu menandatangani dokumen MoU berkenaan manakala NUMS pula diwakili Naib Canselornya, Lt. General Syed Muhammad Imran Majeed. Hadir sama ialah delegasi NUMS dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Dalam pada itu, pelajar-pelajar Pakistan kini menzahirkan minat mereka dalam menyambung pengajian khususnya di peringkat ijazah lanjutan di USM, sekaligus menunjukkan agenda pengantarabangsaan USM berjaya meningkatkan bilangan pelajar luar di Universiti ini.

Hubungan baik dengan NUMS juga turut menzahirkan kepercayaan institusi berkenaan mengadakan kolaborasi dengan USM yang disifatkan sebagai destinasi terbaik untuk pelbagai agenda dalam memperkasa pencapaian mereka di peringkat antarabangsa.

NUMS pada asasnya ditubuhkan untuk mengukuhkan pencapaian terbilang khususnya dalam bidang pendidikan kesihatan, penyelidikan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

NUMS turut ditubuhkan dengan fasiliti bertaraf antarabangsa dan dilengkapi dengan rangkaian hospital tentera, 12 institut kepakaran, 10 buah kolej perubatan dan 4 buah kolej kejururawatan, menjadikannya antara Universiti pengajar terbesar di negara Pakistan khususnya dalam aspek trajektori dan volume pesakit.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Mohamad Zaidi Jaini & Ebrahim Abdul Manan  

  • Created on .
  • Hits: 837

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024