USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, NI GIAT PERKASA STEM MELALUI PERTANDINGAN ROBOTIK

40268C4C E4F0 42E8 B39B ADE52171A38B
NIBONG TEBAL, 28 November 2019 – Buat tahun kedua berturut-turut, Universiti Sains Malaysia (USM) bekerjasama dengan National Instruments Corporation (NI) bagi menganjurkan NI Autonomous Robotics Competition (NI ARC) untuk memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, dalam ucapannya berkata, “Program ini mampu meningkatkan lagi kolaborasi antara akademia dengan industri khususnya dalam melonjakkan pendidikan STEM melalui kerjasama berimpak tinggi, perkongsian ilmu serta kesukarelawanan.”

“Malah, seiring dengan usia 50 tahun USM, kolaborasi antara kedua-dua pihak melalui pertandingan ini semestinya membuka peluang interaksi yang lebih dekat antara pihak industri dan pelajar-pelajar kita secara holistik sejajar dengan kehendak industri dan pasaran,” tambah beliau, di majlis penutupan dan penyampaian hadiah di Kampus Kejuruteraan USM di sini, baru-baru ini.

Dengan tema Planet Exploration – Mars Exploration Programme, para peserta dikehendaki untuk mereka bentuk dan memprogramkan perkakasan untuk mengumpul bahan spesifik untuk penyelidikan dalam tempoh tertentu bagi menentukan sama ada Planet Marikh boleh menampung kehidupan atau tidak, untuk kajian geologi serta persediaan bagi penerokaan manusia di planet tersebut.

8D384B45 0B9D 4935 AF53 9D8BF35A5C49

“Ternyata pertandingan ini agak mencabar tetapi ia adalah platform yang amat baik untuk pelajar membina pelbagai kemahiran yang berkaitan dengan mencari penyelesaian berasaskan kejuruteraan robotik, dan kemahiran ini diperlukan untuk menjadi jurutera, saintis dan penghasil inovasi yang berwibawa pada masa depan,” kata Abdul Rahman.

Naib Presiden Perkilangan Asia-Pasifik (APAC) NI, Rajesh Purushothaman dalam ucapannya pula merakamkan ucapan terima kasih kepada semua universiti yang terlibat kerana memberi peluang kepada pelajar masing-masing untuk menyertai pertandingan sambil menimba pengalaman sebenar seperti ini.

“Namun, perlu diingatkan bahawa kemenangan bukanlah fokus utama di dalam NI ARC 2019 ini. Sebaliknya kita berharap selain pengalaman yang ditimba di dalam pertandingan ini, pelajar-pelajar ini turut berpeluang mempertajamkan kemahiran insaniah mereka yang diperlukan dalam dunia pekerjaan sebenar kelak,” kata Rajesh.

Pertandingan akhir ini menyaksikan tiga pasukan USM dari Kampus Kejuruteraan iaitu pasukan Crawler, Deceptions, dan Ace bertanding bersama-sama tujuh pasukan dari beberapa Institusi pengajian tinggi tempatan lain seperti Thalos dan Fidelity (Universiti Putra Malaysia, UPM), Electro Spectro dan Gladiators Reborn (Universiti Malaysia Pahang, UMP), Airost Team-X dan Airost Team-Y (Universiti Teknologi Malaysia, UTM) serta Planet X (Penang Skills Development Centre, PSDC).

Semua pasukan yang terlibat di dalam NI ARC telah diberikan bimbingan oleh para jurutera dari NI sendiri dan dibekalkan dengan satu unit myRIO 1900 untuk setiap pasukan bersama-sama RM1,500 untuk mereka membina robot, trek dan lain-lain.

Keputusan akhir menyaksikan dua pasukan USM iaitu Crawler (tempat ketiga) serta Deceptions (saguhati khas) berada di antara lima yang terbaik.

Kedua-dua pasukan UTM iaitu Airost Team-X muncul sebagai juara dan Airost Team-Y sebagai naib juara.

5F02C7D3 A994 4307 B7A2 E5045A7E28CC

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Abdul Rahman dan Rajesh. Antara yang turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik USM, Professor Ir. Dr. Mohd. Fadzil Ain dan Pengurus Penyelidikan & Pembangunan Kanan NI, Azian Wahab.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim & Tan Ewe Hoe/Foto: Mohammad Nazer Abdul Hadi

  • Created on .
  • Hits: 1078

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024