USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR MANFAAT BANTUAN BB1M

usmbb1m1

PULAU PINANG,  22 Feb. 2013 – Para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) rata-ratanya gembira dan bertekad untuk memanfaatkan bantuan Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) secara berhemah untuk kepentingan menuntut ilmu.

Nur Mardhiah Nordin, pelajar tahun satu jurusan Sains Kemasyarakatan berkata, pemberian BB1M secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban pelajar untuk mendapatkan keperluan dalam menuntut ilmu termasuk pembelian buku-buku dan sebagainya.

Katanya, ia bukan sekadar meringankan beban kewangan pelajar, sebaliknya turut memberi satu wadah baru kepada siswa-siswi untuk menghargai sumbangan kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik kepada pelajar di pelbagai peringkat pengajian.

usmbb1m2

``Sudah semestinya saya akan menggunakan bantuan ini dengan sewajarnya untuk kepentingan dan masa depan saya dalam menimba ilmu,’’ jelas beliau.

Selian beliau, Goo Chuan Chiew pula berkata, BB1M menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meningkatkan kemudahan untuk para pelajar khususnya dalam mendapatkan bantuan untuk pembelian bahan-bahan ilmiah.

``Saya harap semua pihak dapat menggunakan BB1M secara berhemah dan membeli keperluan yang sepatutnya untuk kepentingan akademik,’’ ujar pelajar tahun satu jurusan Pengurusan tersebut.

Kavita Doraisamy, pelajar jurusan Sastera dengan Pendidikan pula berkata, beliau akan menggunakan BB1M untuk membeli buku-buku yang diperlukan untuk bidang pengajiannya.

usmbb1m3

``Sekurang-kurangnya saya sudah boleh menjimatkan wang poket dengan adanya BB1M ini dan jumlah RM250 sudah membolehkan saya mendapatkan pelbagai bahan rujukan,’’ katanya.

Kesemua pelajar tersebut ditemui sejurus tamat majlis penyampaian BB1M yang dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini baru-baru ini.

Beliau dalam ucapannya berkata, pemberian BB1M menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan mahasiswa untuk membiayai keperluan pengajian mereka.

Katanya, sumbangan kerajaan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar dan memberi satu suntikan buat mereka untuk terus gigih dalam menimba ilmu dan membina masa depan yang cemerlang.

``Kita berharap para pelajar dapat menggunakan bantuan ini secara berhemah dan pihak kerajaan sentiasa akan meningkatkan prestasi untuk membantu meneraju masa depan negara melalui pembinaan modal insaneyang cemerlang’’’ ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Adnan Hussein. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 4002

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024