USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUANKU CANSELOR SEMPURNAKAN PENGANUGERAHAN ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA DI ISTANA ARAU: SERENTAK TERIMA

usmistana4

PERLIS, 20 Feb. 2013 - Tuanku Canselor, D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis penganugerahan Anugerah Pelajaran Diraja kepada dua pelajar terbaik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam satu majlis khas di Istana Arau, di sini baru-baru ini.

Kedua-dua pelajar yang diraikan ialah Azlan Shah Abdul Jalil, penerima bagi kategori Bumiputera manakala Divya A/P Vanoh pula adalah untuk kategori penerima bukan bumiputera.

usmistana3

Kedua-dua mereka dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan kokurikulum sempena Upacara Konvokesyen USM ke-46 yang berlangsung di USM September tahun lalu.

Azlan berkata, kesempatan diraikan dalam upacara khas tersebut memberi satu kenangan istimewa dalam hidup beliau, selain turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat.

usmistana5

``Saya teruja dengan pengalaman baru ini dan berharap ia dapat menyuntik lebih banyak kejayaan pada masa depan,’’ ujaranya yang kini sedang menyambung pengajian dan dijangka akan ke luar negara dalam masa terdekat.

Divya pula berpendapat, kejayaan tersebut adalah hasil penat-lelahnya mengulangkaji pelajaran dan menumpukan segala usaha untuk memajukan diri dalam akademik dan juga kokurikulum.

Graduan Sains Kesihatan yang menjurus kepada bidang Dietetik itu turut gembira kerana dapat menggembirakan kedua ibu bapanya yang turut serta dalam majlis khas yang diadakan khusus untuk meraikan mereka.

Kedua-dua graduan cemerlang itu telah dikurniakan sijil penghargaan, hadiah pingat dan wang tunai berjumlah RM5,000 setiap seorang.

usmistana1

Turut dimuatkan dalam acara rasmi tersebut adalah kunjungan mengadap ahli-ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) termasuk Pengerusinya, Tan Sri Dato’ Dr. Zulkefli A. Hassan.

usmistana2

Tuanku Canselor turut bermah-mesra bersama ahli-ahli LGU dan berkenan meraikan tetamu istana dalam majlis santapan tengahari yang turut disertai pegawai-pegawai utama universiti diketuai Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 4074

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024