USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KETENGAH IDEA BANTU ORANG ASLI PASARKAN PRODUK ATAS TALIAN

 

577CEF8F D785 4094 9CAC 1B8BDE65AC66

PULAU PINANG, 9 November 2019 – Sekumpulan warga Universiti Sains Malaysia (USM) mendekati masyarakat orang asli di Tapah, Perak, baru-baru ini dalam usaha mendedahkan masyarakat di sana dengan kepentingan teknologi maklumat dan kegunaannya dalam urusan harian.

Program anjuran Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) dengan kerjasama Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI) itu dikenali sebagai Program Libatsama Universiti-Komuniti bersama Masyarakat Orang Asli bertemakan Peningkatan Sosio-Ekonomi Komuniti Orang Asli melalui Pemindahan Ilmu Pelajar (SKTP) telah berlangsung pada 1-3 November 2019.

Pengarah PTPM merangkap Ketua Program SKTP, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, program ini dianjurkan bagi meningkatkan dan meluaskan bilangan celik komputer dalam kalangan masyarakat orang asli, selain memperkenalkan dan meluaskan pemasaran hasil pertanian dan kraftangan masyarakat orang asli melalui ICT.

Katanya, ia turut berperanan dalam meningkatkan pendapatan sosio-ekonomi orang asli dengan kaedah pemasaran hasil pertanian dan kraftangan yang berkesan dan meluas dengan penggunaan ilmu dan kemahiran ICT yang diberikan.

“Di samping itu juga, program seumpama ini dapat membuka ruang dan peluang interaksi antara masyarakat orang asli dengan masyarakat luar dan mengukuhkan jaringan kerjasama dan penglibatsamaan di antara universiti dan komuniti orang asli di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, aktiviti yang dijalankan hanya menggunakan telefon bimbit yang dimiliki oleh para peserta dengan bimbingan fasilitator yang telah dilatih untuk memindahkan ilmu dan pengetahuan ICT menggunakan kaedah ‘one-to-one’.

“Kita laksanakan sesi pembelajaran secara hands-on supaya perkongsian ilmu yang disampaikan berkesan dan nyata banyak maklum balas yang amat baik dan positif diterima daripada para peserta yang merupakan golongan belia orang asli.

“Mereka boleh dijadikan ‘game changer’ bagi meningkat pendapatan keluarga melalui pemasaran produk pertanian/kraftangan/pelancongan dengan memanfaatkan penggunaan telefon bimbit,” tambah beliau lagi.

694896EC 6842 42BB 8340 3D25242A1568

Pengarah Projek, Muhammad Farhan Bukhai pula berkata, beliau teruja dapat membantu komuniti orang asli untuk membuka mata terhadap teknologi ICT yang boleh membantu mengubah kehidupan mereka.

“Saya dapat banyak manfaat khususnya kepada diri sendiri hasil daripada program ini seperti mengenal erti bersyukur, bersemangat sukarela dan patriotik,” ujarnya yang juga pelajar tahun dua dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan.

Program Libatsama-Universiti Komuniti ini telah disertai oleh seramai 35 orang pelajar USM yang bertindak sebagai fasilitator dan tujuh orang staf PTPM.

Teks asal dan foto: PTPM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024