ARKEOLOGI: TAPAK BAHARU DIJUMPAI DI BUKIT SELAMBAU DAN KUALA KETIL, KEDAH
KEDAH, November 2019 – Para penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menjumpai tapak baharu sepanjang Sungai Muda dari Bukit Selambau sehingga ke Kuala Ketil yang juga mengetengahkan relau-relau peleburan besi.
“Keluasan taburan kawasan tersebut adalah lebih 1,000 kilometer persegi iaitu sehingga ke Empangan Pedu, Kedah yang turut dijumpai relau peleburan besi,” kata Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.
“Penemuan relau peleburan besi ini membukti tamadun dan asal usul masyarakat dahulu yang mempunyai kepakaran dan teknologi yang sangat tinggi sehingga dapat mengeksport besi.
“Penyelidikan masih luas dan berterusan, kita masih belum menjumpai kawasan-kawasan penempatan dan tempat tinggal serta kawasan perkuburan kerana pada ketika ini hanya menjumpai kawasan ritual, syahbandar, relau peleburan besi dan pelabuhan.
“Perkembangan terkini di tapak Sungai Batu adalah pada Julai lalu satu keputusan ujian penyelidikan telah diperolehi yang menunjukkan seawal 788 Sebelum Masihi (SM) lagi aktiviti peleburan besi telah bermula di sini.
Sebelum ini, PPAG telah membuktikan kewujudan jeti yang paling tua adalah 582 SM, Syahbandar pada 487 SM dan juga tapak ritual 110 Masihi.
Sementara itu, penyelidik USM turut meraikan ulang tahun kesepuluh penemuan dan program eskavasi tapak arkeologi di Sungai Batu bersama warga komuniti setempat.
Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 3293