PPAG USM SAMBUT ULANG TAHUN KE-10 TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU BERSAMA KOMUNITI
MERBOK, KEDAH, 2 November 2019 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menyambut ulang tahun kesepuluh penemuan dan program eskavasi tapak arkeologi di Sungai Batu bersama warga komuniti setempat.
Program Arkeologi dan Komuniti atau Libatsama Komuniti Arkeologi itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip yang turut merasmikan Laman Arkeologi yang dilengkapi Pustaka untuk menghimpunkan penyelidikan dan terbitan berkaitan arkeologi Kedah Tua, tapak model eskavasi untuk latihan para pelawat dan pelancong (arkeopelancongan) serta makmal sains untuk menjalankan analisis artifak arkeologi.
"Pelaksanaan program ini amat penting kerana komuniti setempat mampu memberi sumbangan besar terhadap kelestarian tapak ini khususnya dari sudut pemeliharaan warisan sejarah," kata Nor Azrina.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang pertama kali menjejak kaki ke tapak ini melahirkan rasa teruja dengan semua tapak yang dilawati dan berharap ianya menjadi satu tarikan kepada pelajar untuk memupuk rasa cinta kepada bidang sains dan bukan sains serta mengimbangkan kuota kemasukan pelajar sains dan sastera ke institut pendidikan tinggi di Malaysia.
Melalui program ini, ianya meninggalkan impak yang besar iaitu meningkatkan jumlah pelancong dan pelawat ke tapak, meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti setempat dan mengukuhkan jalinan badan kerajaan dan juga bukan kerajaan.
Turut hadir Pengarah PPAG USM, Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin, wakil Pegawai Daerah Pentadbir Tanah Kuala Muda dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk lawatan berpandu ke setiap tapak di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, eksperimen membuat bata, melebur besi dan permainan membuat replika artifak arkeologi di samping penjualan produk komuniti seperti makanan kering, kraftangan dan senjata tradisional.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1170