PEMILIHAN MPP USM TENTERAM, SPENCER RAIH UNDIAN TERTINGGI
USM PULAU PINANG, 31 Oktober 2019 – Proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) bagi sidang akademik 2019/2020 yang buat kali kedua dikendalikan oleh mahasiswa disifatkan berjalan lancar walaupun peratus mahasiswa yang keluar mengundi rendah.
10 Kerusi Konstituensi Umum yang dipertanding menyaksikan 6 pemenang daripada Kampus Induk iaitu Spencer Chieng Kuan Hock, pelajar tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dengan jumlah undian tertinggi sebanyak 2,552, diikuti oleh Adam Malik Bin Abd Malek (2,424), Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri (2,073), Nur Aliya Binti Mohd Suhaimi (2,005), Ahmad Naim Bin Mohd Salleh (1,918) dan Mohamad Syukuri Bin Kasdi (1,887).
Manakala bagi kampus cawangan pula, Nur Azlina Binti Idris daripada Kampus Kesihatan menang dengan undian 243 serta Kamal Safwan Bin Jamaludin daripada Kampus Kejuruteraan dan Muhammad Syafiq Bin Zamri daripada Kampus USM-KLE India menang tanpa bertanding di dua kampus ini. Satu lagi kerusi iaitu Konstituensi Umum bagi Institut Pengajian Siswazah masih kosong dan akan diisi dalam jangka masa terdekat ini.
Bagi kerusi konstituensi Pusat Pengajian pula, sebanyak 35 kerusi dipertandingkan iaitu meliputi 12 di Kampus Induk yang menyaksikan persaingan sengit calon yang bertanding manakala 7 kerusi lagi calonnya menang tanpa bertanding. Begitu juga di Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan yang mana menyaksikan masing-masing 7 dan 2 kerusi dimenangi tanpa pertandingan.
Akan tetapi, terdapat 7 lagi kerusi konstituensi pusat pengajian yang masih kosong dan akan diisi kelak kekosongannya iaitu masing-masing 4 di Kampus Induk dan 3 di Kampus Kesihatan.
Terdahulu Majlis Perwakilan Pelajar USM telah dibubarkan pada 17 Oktober 2019 bagi memberi laluan kepada pilihanraya kampus yang berlangsung pada 24 Oktober 2019 yang lalu di kampus-kampus utama USM.
Dalam pada itu, pemilihan MPP USM tahun lalu menyaksikan Fazilah Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan meraih undian tertinggi bagi konstituensi umum dengan 3,101 undian.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 1166