USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YAYASAN UEM SUMBANG RM180,000 KEPADA HOSPITAL USM BANTU GOLONGAN ASNAF

31547494 F4FD 497B B4AC A57ED9F1D039

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Oktober 2019 – Yayasan UEM melalui tiga anak syarikatnya UEM Group Berhad, UEM Sunrise Berhad dan UEM Builders Berhad hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak RM180,000 kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

Sumbangan itu bertujuan membantu pesakit asnaf yang memerlukan rawatan di Hospital USM dengan kadar segera melalui Unit Kebajikan Perubatan.

Pengarah Urusan UEM Group Berhad yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UEM, Dato’ Mohd Izani Ghani dalam ucapannya berkata, dua aspek utama yang diberi penekanan oleh Yayasan UEM adalah pendidikan dan bantuan kemasyarakatan.

“Sumbangan ini merupakan satu daripada inisiatif berfokus kepada masyarakat terutama bagi golongan kurang berkemampuan dari kategori B40 dan asnaf yang memerlukan rawatan segera di Hospital USM.

“Sumbangan ini juga sedikit sebanyak diharap dapat membantu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat negeri Kelantan khususnya dan Hospital USM amnya dalam memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit,” ujarnya.

Tambah Mohd Izani, Yayasan UEM turut menyumbang sepuluh set komputer kepada Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital USM untuk membantu melancarkan proses pengajaran di samping memudahkan pesakit kanak-kanak meneruskan sesi pembelajaran sepanjang menerima rawatan.

F01891C3 D115 414B A575 2F86507F7D86

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib kepada Pengarah Hospital USM yang juga Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim.

Sementara itu, Ahmad Sukari pula berkata, Hospital USM sangat berbesar hati menerima sumbangan daripada Yayasan UEM dan berharap agar lebih ramai dermawan tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Sumbangan yang diterima, apabila digabungjalinkan dengan kepakaran yang ada di Hospital USM, InsyaAllah dapat memberi nilai tambah yang cukup baik kepada masyarakat.

“Saya juga berharap agar sumbangan ini akan berterusan selamanya bagi memberi kepentingan kepada pesakit Hospital USM dan rakyat negeri Kelantan,” jelasnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 929

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024