BERUK PEMAKAN TIKUS BERPOTENSI LESTARIKAN INDUSTRI SAWIT
USM PULAU PINANG, 25 Oktober 2019 – Beruk (pig-tailed Macaques) ialah sejenis haiwan yang tidak mempunyai reputasi yang baik dan seringkali dilabel sebagai antara haiwan yang sering merosakkan tanaman. Namun siapa sangka, haiwan ini sebenarnya mempunyai peranan yang penting dalam ekosistem khususnya dalam menjadi agen pengawal makhluk perosak semulajadi.
Fenomena yang mengujakan sekumpulan saintis ini menunjukkan beruk atau dalam nama saintifiknya Macaca nemestrina sebenarnya dapat membantu dalam melestarikan industri penanaman kelapa sawit kerana mereka sangat berselera memakan tikus-tikus yang mampu merosakkan tanaman sawit khususnya buah sawit dalam skala yang besar.
Lebih menarik beruk ini juga berupaya menjadi alternatif kepada penggunaan racun perosak berbahaya, seperti yang diamalkan melalui kaedah konvensional dalam membanteras tikus perosak tanaman.
Dr. Nadine Ruppert, penyelidik haiwan primat dan juga Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK), Universiti Sains Malayia (USM) berkata, hasil kajian bersama pasukan penyelidikannya mendapati selain dari burung hantu, beruk juga adalah haiwan pemburu tikus yang baik.
Malah ujar beliau, kedua-dua haiwan ini melengkapi di antara satu sama lain kerana beruk mencari tikus pada siang hari, memanjat pokok serta memburu tikus-tikus yang sedang tidur di sebalik pelepah-pelepah dan daun sawit manakala burung hantu memburu pada waktu malam dan kebiasaannya memakan tikus yang berada di tanah.
“Kami (penyelidik) amat teruja dengan penemuan ini dan ingin memupuk kesedaran semua pihak ke arah menjaga hutan hujan tropika kita dengan baik kerana ia adalah habitat semulajadi yang dapat menyokong kehidupan primat ini yang semakin terancam,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini. Hadir sama ialah rakan penyelidik beliau, Profesor Dr. Shahrul Anuar Mohd Sah.
Nadine berkata, kajian ini turut menunjukkan bukti yang kukuh tentang pemuliharaan habitat hutan hujan di sekeliling ladang kelapa sawit. Dengan membiarkan beruk hidup di dalam kawasan kelapa sawit bukan hanya akan melindungi spesis yang terancam ini beserta spesis lain yang menghuni hutan, tetapi juga akan membawa manfaat yang besar dari segi ekonomi kepada para peladang.
Tambah beliau, data kajian menunjukkan peratusan beruk mengancam pengeluaran tanaman sawit adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar 0.6 peratus berbanding tikus yang berupaya mengurangkan jumlah pungutan sawit sehingga 10 peratus bagi setiap ladang sawit.
Nadine dan pasukannya telah hampir lima tahun menjalankan kajian mengenai primat ini melalui projek yang dikenali sebagai Macaca Nemestrina Project.
Dalam pada itu, beruk juga adalah salah satu daripada haiwan terlindung yang bersifat pemalu serta tidak memberi ancaman kepada manusia jika dibiarkan bebas dalam kawanannya di hutan.
Selain di negara ini, kumpulan primat yang mempunyai bulu keperangan dan berekor pendek ini kebiasaannya boleh dijumpai di negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Bangladesh, India dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1191