KEM SAINS JUNIOR PUPUK MINAT PELAJAR SEKOLAH DEKATI STEM
PULAU PINANG, 22 Oktober 2019 – Sains adalah antara subjek yang umumnya sering dianggap sukar dan sehingga kini seringkali didengari minat pelajar sekolah menceburi bidang ini menunjukkan trend yang menurun.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada tahun 2018, hanya 44 peratus pelajar Malaysia mengambil mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berbanding 49 peratus pada 2012. Ini merupakan pengurangan purata kira-kira 6,000 pelajar setiap tahun.
Sebagai menyahut cabaran untuk mempertingkatkan minat pelajar sekolah untuk mendaftar dalam aliran sains, sekumpulan pelajar pascasiswazah dari Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai tenaga akademiknya, Profesor Madya Dr. Lim Theam Soon ada cara tersendiri memancing minat kanak-kanak mendekati sains.
Lim berkata, pihaknya telah menjalankan simulasi pelbagai projek sains untuk dikongsikan bersama para pelajar di peringkat sekolah rendah dan nyata kaedah berkenaan dapat membantu mereka mendapatkan pemahaman lebih jelas berkenaan ‘kerja-kerja hebat’ yang boleh dilakukan di makmal.
“Program ini telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan ia semakin mendapat tempat khususnya dalam kalangan guru-guru di sekolah serta para pelajar. Ia menjadi salah satu cara menarik minat pelajar mendekati subjek sains.
“Kita memberi peluang untuk mereka mencuba pelbagai ujian menarik yang dapat membuktikan teori-teori sains dengan cara yang interaktif dan mudah difahami. Paling penting, kita dapat menyebarluas kepentingan sains dalam kehidupan seharian yang mungkin tidak mereka sedari,” ujarnya.
Keterujaan pelajar untuk menyertai program berkenaan turut terserlah apabila kesemua empat kelas tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Convent Greenlane Pulau Pinang menumpukan sepenuh perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang disampaikan oleh ‘saintis’ USM.
Sadhana, pelajar dari kelas 5 Seri Embun berkata, beliau gembira kerana terpilih menyertai program tersebut dan menyifatkan ia adalah pengalaman pertama kali yang menyeronokkan kerana dapat bereksperimen bersama kawan-kawan.
“Kami diberikan beberapa tugas untuk menjalankan ujikaji dan ia adalah satu pengalaman yang baik. Kita juga diberikan penerangan sebaik selesai menjalankan setiap ujikaji,” ujarnya.
Pendapatnya turut diakui Sheryl Goh Yi Shuen dari kelas 5 Seri Awan, yang turut menyatakan ujikaji sains adalah sesuatu yang mengujakan dan beliau tidak sabar melihat keputusan ujikaji sebaik ia dijalankan.
Program outreach INFORMM itu turut disertai oleh dua pelajar dari University of Brunswick, German, Lena Schepergerdes dan Dorina Schackermann yang kini sedang menjalani latihan internship bersama tenaga akademik dari INFORMM.
Lena ketika ditemubual berkata, program outreach seumpama itu sangat memberi manfaat khususnya kepada para pelajar sekolah untuk membimbing mereka bagi memahami sains dan menarik minat untuk mengikuti subjek berkenaan.
“Program ini agak unik. Saya pernah terlibat dengan program outreach ketika di German namun kegiatan yang memberi pengalaman secara langsung (hands-on) seumpama ini adalah berbeza dan sangat sesuai untuk mendekati para pelajar di peringkat awal.
“Pun begitu, saya lihat anak-anak ini pada mulanya agak malu-malu untuk bertanyakan soalan namun dengan bimbingan rakan-rakan saya yang lain yang turut membantu dalam program ini, mereka semakin aktif dan memberi tumpuan penuh kepada aktiviti yang dijalankan,” ujarnya.
Antara projek sains yang dijalankan di sepanjang kem tersebut termasuklah eksperimen pergerakan air, lampu lava, lumba tin aluminium, bot berkuasakan sabun, pelangi dalam gelas dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1685