CEMACS TUMPUAN SEKTOR PELANCONGAN PENDIDIKAN
TELUK BAHANG, 21 Oktober 2019 – Malaysia terkenal dengan kekayaan biodiversiti, satu khazanah yang tidak terhingga nilainya dan menjadi warisan kepada generasi akan datang. Malaysia juga amat beruntung kerana terletak di kawasan tropika yang mempunyai iklim yang sesuai untuk habitat flora dan fauna termasuk pelbagai habitat marin.
Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai antara institusi pendidikan terkemuka di negara ini menyedari perlunya ada satu mekanisme dalam memelihara kekayaan biodiversiti yang menjadi anugerah alam yang tiada tolok bandingnya supaya ia dapat diwariskan dan dinikmati oleh generasi seterusnya.
Menyedari hakikat itu, USM telah menubuhkan sebuah pusat penyelidikan yang dikenali sebagai Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) khusus dalam menjalankan penyelidikan dan latihan yang tertumpu kepada biodiversiti dan pemuliharaan ekosistem laut, ekosistem pantai, ekosistem hutan pesisir, ‘mariculture’ dan kajian ekologi mamalia laut.
Terletak kira-kira 30 kilometer dari kampus USM di Gelugor, pusat penyelidikan marin tertua negara itu kini berusia 41 tahun dan boleh diumpamakan sebagai sebutir permata berharga yang perlu diberi perhatian.
Ia ekoran peranannya yang cukup besar buat pembangunan bidang penyelidikan marin dan samudera negara. Malah, paling penting, CEMACS membangunkan pelbagai penyelidikan yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi negara serta menyimpan pelbagai koleksi khazanah laut, ada di antaranya yang jarang-jarang ditemui di serata dunia.
PENYELIDIKAN AKUAKULTUR TERMASUK TIRAM
Penyelidikan akuakultur di CEMACS telah menceritakan pelbagai kisah kejayaan, termasuk penyelidikan bagi pengeluaran benih tiram yang berkualiti tinggi yang menjanjikan pulangan cukup lumayan kepada penternak-penternak tiram.
Malah, penyelidikan tiram USM yang mula dibangunkan sekitar tahun 1989 kini telah menjadi salah satu inisiatif yang dijalankan khususnya untuk menaiktarafkan kehidupan komuniti nelayan menjadi komuniti yang mampu menjalankan perniagaan melalui kaedah pemindahan teknologi.
Antara yang menjadi tumpuan adalah penghasilan tiram berkualiti tinggi dan mempunyai keistimewaan jauh lebih baik daripada kualiti tiram yang diimport dari luar negara. Malah, permintaan tinggi dari penggemar makanan laut telah membolehkan penyelidik di CEMACS menghasilkan tiram premium yang mempunyai nilai pasaran tinggi.
Lebih unik, penyelidik di CEMACS turut telah berjaya menghasilkan tiram Siraj, tiram yang mempunyai kualiti terbaik melalui kaedah pembenihan berteknologi dan dinamakan bersempena nama Raja Perlis yang juga Canselor USM yang sememangnya cukup gemar menikmati hidangan tiram yang kaya dengan protein, kalsium, vitamin A dan rendah kalori.
Tiram yang dihasilkan melalui kaedah penternakan akuakultur ini ternyata mempunyai pelbagai keistimewaannya tersendiri. Dengan rasanya yang jauh lebih sedap, tiram yang dihasilkan melalui penyelidikan pihak CEMACS merupakan spesies yang mampu menyaingi tiram-tiram yang diimport dari pelbagai negara lain.
Pun begitu, tiram adalah antara contoh bagi mengetengahkan kejayaan-kejayaan CEMACS. Penyelidikan di CEMACS tidak terhad hanya kepada tiram sebaliknya pelbagai hidupan marin lain seperti gamat, belangkas, obor-obor, kerang-kerangan, ketam nipah dan bermacam-macam lagi.
Kini CEMACS sedang giat melakukan pemindahan ilmu kepada golongan nelayan dan masyarakat di sekitar pantai mengusahakan penternakan tiram melalui konsep yang telah dipermudahkan oleh para penyelidik di CEMACS. Penternakan tiram ini adalah antara inisiatif yang dapat meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat.
PENYELIDIKAN MARIN DI CEMACS
Selain tiram, CEMACS turut aktif dalam pelbagai penyelidikan marin lain termasuk berpotensi menjadi pusat pemantauan kualiti air dan sebagainya.
CEMACS juga sehingga kini telah berjaya melahirkan saintis-saintis marin yang kini menerajui kebanyakan universiti yang mempunyai bidang sains marin di negara ini.
CEMACS telah banyak membuat pemantauan alam sekitar serta biodiversiti di Pulau Pinang termasuklah aktiviti kesedaran dan pemuliharaan termasuk pemuliharaan ke atas ekosistem marin, perikanan dan rumput laut di kawasan marin yang menjangkau lebih 30 tahun.
Pengarah CEMACS, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai ketika ditemui berkata, CEMACS telah melaksanakan usaha untuk memahami kesan perubahan iklim dari segi biologi di dalam ekosistem marin dan pesisiran pantai, dengan menumpukan kepada batuan karang di dalam lautan persekitaran di samping terhadap kerang-kerangan yang penting kepada industri akuakultur negara.
Dengan penyediaan sistem pemantauan jangka panjang bagi keadaan atmosfera, samudera serta hutan di Taman Negara Pulau Pinang, CEMACS memiliki pangkalan data yang lengkap berkaitan alam sekitar, yang boleh dicapai masyarakat umum dan penggubal polisi.
Tambah beliau, pusat kajian yang turut menggabungkan di antara sains dan seni itu telah memainkan peranan utama dalam membentuk pasukan petugas bagi menangani kekerapan terjadinya kematian sebahagian besar ikan di tapak-tapak akuakultur sekitar Pulau Pinang, bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar dan seumpamanya serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Katanya lagi, CEMACS mampu memainkan peranan penting membantu kerajaan negeri dalam usaha memantau serta menyediakan bahan rujukan dan maklumbalas berkaitan perubahan persekitaran dari segi perkalaan ruang dan tempoh masa.
“CEMACS yang terletak di Selat Melaka menyediakan suasana ‘makmal semulajadi’ yang ideal atau sebagai ‘makmal hidupan’ dalam meramal keadaan persekitaran marin di masa hadapan tatkala berhadapan dengan masalah pencemaran dan asidifikasi lautan, yang telahpun memberi kesan negatif kepada kebanyakan hidupan laut.
“Keadaan ini menjadi semakin buruk dengan peningkatan pencemaran plastik dan mikroplastik, yang ditemui terkumpul di dalam sumber makanan dari hasil laut. CEMACS kini menyahut cabaran menjalankan penyelidikan dan mencari penyelesaian bagi ancaman ini,” ujarnya.
Tegas Aileen yang turut mempunyai kemahiran dalam aktiviti menyelam di dasar laut itu, CEMACS komited dalam memberi perkhidmatan kepada komuniti setempat dan seluruh negara sebagai hab pendidikan yang berfokus kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM).
Pintu CEMACS terbuka kepada mana-mana institusi dan masyarakat umum untuk lebih mengetahui tentang kepelbagaian ekosistem semulajadi seperti hutan tropika, sistem sungai, tepian pantai berpasir dan berkerikil, serta ekosistem samudera.
CEMACS BERPOTENSI DIBANGUNKAN SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN PENDIDIKAN
Dengan usia CEMACS yang mencecah 41 tahun itu, pusat ini berpotensi tinggi untuk diketengah sebagai salah satu tumpuan pelancongan utama di Pulau Pinang khususnya pelancongan pendidikan (edutourism).
Dengan prasarana yang lengkap dan kepelbagaian koleksi khazanah laut hasil penyelidikan CEMACS, ia wajar dikongsi bersama masyarakat bagi tujuan memberi kesedaran tentang khazanah laut yang perlu dihargai ini.
Sememangnya Malaysia khususnya di Pulau Pinang amat kaya dengan khazanah lautan dan pesisir pantai, dan semestinya kekayaan ini perlu dikongsi dengan pelancong dalam mahu pun luar negara terutamanya golongan muda agar ia memberi impak tinggi kepada industri pelancongan tanah air.
Baru-baru ini CEMACS turut telah dikunjungi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin.
Melalui kunjungan berkenaan, Ketua Menteri turut menyatakan kesediaan pihak kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan CEMACS khususnya dalam memperkasa komuniti khususnya yang terlibat secara langsung dengan industri akuakultur.
Beliau berkata, pihak kerajaan negeri mengalu-alukan pandangan daripada pihak CEMACS tentang Pulau Pinang dan sedia bekerjasama untuk manfaat semua. Kerajaan negeri juga, jelas beliau, akan sentiasa menyokong usaha pusat kajian tertua negara itu termasuk membiayai penyelidikan dan sebagainya.
Turut serta dalam lawatan kerja Ketua Menteri tersebut ialah Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan pakar biologi marin yang juga Profesor Kehormat di Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Zulfigar Yasin.
Dalam pada itu, sememangnya masyarakat umumnya kurang kesedaran mengenai kekayaan biodiversiti hidupan laut yang dimiliki di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang dan hal ini harus diberi perhatian serius.
Justeru, USM komited untuk mengetengahkan CEMACS sebagai lokasi pelancongan pendidikan utama di negeri ini dan dalam masa yang sama berusaha untuk menyebar luas pengetahuan tentang kepelbagaian hidupan laut yang perlu dipelihara bersama, selain memastikan kelestarian khazanah laut terjamin melalui usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan ekosistem marin dan pesisir yang sistematik.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 3780