USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WACANA POLITIK USM CERMINAN GENERASI CAKNA PROSES DEMOKRASI

spr1

USM PULAU PINANG, 15 Oktober 2019 – Sesuai dengan senario politik negara yang sentiasa berhadapan pelbagai cabaran dan perubahan, Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan baru-baru ini telah menganjurkan program Forum Demokrasi.

Selaras dengan keputusan Parlimen baru-baru ini meluluskan pindaan bagi menurunkan had umur ke 18 tahun untuk mengundi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dan USM telah bersepakat menganjurkan program ini, dengan generasi muda khasnya siswa-siswi sebagai kumpulan utama yang perlu diberi lebih pendedahan berkaitan perjalanan proses pilihanraya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM yang hadir mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dalam ucapan aluannya berkata, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menilai sejauh mana kematangan politik generasi muda masa kini, serta kesediaan mereka untuk berbincang dan berbahas dengan rasional, berilmu dan beradab hal-hal berkaitan isu politik semasa.

Seterusnya Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menekankan dalam ucaptamanya, negara demokrasi pada asas berpegang pada prinsip kehendak bebas atau ‘free will’.

Beliau menanyakan soalan, adakah proses mengundi bagi setiap individu betul-betul dijalankan secara bebas, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak?

Kerajaan Malaysia yakin akan kemampuan generasi muda untuk mengundi dengan menurunkan had umur kelayakan ke 18 tahun. Namun begitu, adakah generasi muda Malaysia sudah merasa bersedia untuk mengundi, tanya beliau lagi.

Dua forum seterusnya menyusul dalam program ini, yang mana para panelis yang dijemput terdiri dari Ahli-ahli DUN tempatan, wakil-wakil pelajar, wakil SUARAM serta Pengarah Akademi Pilihan Raya (APR) Malaysia. Masing-masing mengutarakan pandangan berkaitan kesan atau langkah yang seharusnya diambil berikutan penurunan umur layak mengundi ini.

Malaysia adalah di antara negara terakhir di dunia yang menurunkan umur layak mengundi ke umur 18 tahun. Antara negara-negara yang telah lebih awal menetapkan kelayakan mengundi pada umur 18 tahun adalah Canada,  England, Sweden dan Switzerland, dan didapati terdapat peningkatan peratusan yang keluar mengundi sewaktu pilihanraya kecil atau umum.

Umumnya, forum ini menekankan keperluan generasi muda negara untuk bersedia melaksanakan tanggungjawab mereka, dengan memahami proses demokrasi dan menggunakan hak mereka sewaktu pilihanraya dijalankan dengan bijak dan rasional.

Turut hadir di dalam program ini ialah Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia; Profesor Dr. Azlinda Azman, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM; Encik Hasanul Isyraf Naim, Pengarah Akademi Pilihan Raya Malaysia; pegawai-pegawai utama Universiti, serta staf dan siswa-siswi USM.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 1078

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024