USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT USM TAWAR KEPAKARAN RAWATAN PENYAKIT KURANG DAYA IMUN

KEPALA BATAS, 5 Oktober 2019 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini melancarkan Perkhidmatan Rawatan dan Diagnostik Penyakit Imunodefisiensi Primer (PID),

Ini menjadikan IPPT institusi pertama di negara ini yang mempunyai kumpulan PID lengkap terdiri daripada pakar kanak-kanak imunologi dan pakar penyelidik saintis, serta menjadi rujukan bagi penyakit itu di wilayah utara termasuk Kelantan dan Terengganu.

Secara ringkasnya, PID adalah Penyakit Kurang Daya Imun sejak lahir disebabkan beberapa faktor antaranya genetik hingga menyebabkan penghidapnya mudah jatuh sakit sekiranya terdedah kepada sebarang kuman dan virus.

Simbolik pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman di Program Karnival Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat Seberang Perai Utara 2019 yang mana IPPT menjadi tuan rumah.

Menurut Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman, masih ramai masyarakat kita kurang mengetahui tentang penyakit ini, mungkin kerana ia kurang popular berbanding penyakit lain. Namun, penyakit ini mampu memberi ancaman dan boleh membawa maut jika tidak diubati.

“IPPT mengambil langkah untuk mewujudkan perkhidmatan ini bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan, dan rawatan seawal mungkin dapat menyelamatkan nyawa sekiranya disahkan menghidap PID,” katanya.

“Tidak banyak hospital di negara ini yang menawarkan perkhidmatan PID ini dan IPPT USM berbangga apabila dapat menjadi pakar rujukan serta mempunyai fasiliti dalam membantu masyarakat,” tambahnya lagi.

Difahamkan, kesedaran berhubung penyakit itu masih rendah berikutan hanya 50 pesakit sahaja kini didiagnos menghidap PID di negara ini berbanding di luar negara apabila kadar menunjukkan seorang penghidap dalam setiap 58,000 kelahiran.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin/Foto: Norizan Ishak & Amir Zaidi Abu Hassan

  • Created on .
  • Hits: 686

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024