USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN GRADUAN SULUNG SARJANA SAINS DATA DAN ANALITIK, PENUHI KEPERLUAN NEGARA MENJELANG 2020

konvo23

USM PULAU PINANG, 30 September 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) melakar sejarah akademiknya apabila melahirkan sejumlah 35 graduan sulung Sarjana Sains (Sains Data dan Analitik) yang telah menerima ijazah masing-masing pada Sidang Pertama Upacara Konvokesyen ke-57 USM baru-baru ini.

Paling manis, kumpulan pertama yang berijazah dalam program yang mula dilancarkan pada sesi akademik 2017/2018 itu menerima skrol yang dianugerahkan oleh Raja Perlis merangkap Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Mengulas lanjut berhubung kejayaan kohort sulung itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer, Profesor Dr. Rosni Abdullah@Mustafa berkata, program ini adalah antara program perintis di negara ini dan tercetus atas inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (ketika itu) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

”KPT dan MDEC menggesa institusi pengajian tinggi di negara ini mengorak langkah untuk menghasilkan tenaga pakar dalam bidang ini supaya gelombang analitik data raya (BDA) dapat dimanfaatkan oleh negara kita. Dijangkakan 20,000 pakar BDA diperlukan di negara kita menjelang 2020.

”Matlamat program ini adalah untuk menghasilkan tenaga kerja/pakar/pengamal dalam bidang BDA yang berkebolehan untuk membuat keputusan berdasarkan kebolehsediaan data yang komprehensif,” ujar beliau.

Rosni turut menegaskan, program ini menyediakan kursus prinsip asas BDA, pengurusan data raya, teknologi pengupayaan & infrastruktur untuk sains data, pembelajaran mesin, visualisasi data & analitik visual dan kemahiran penyelidikan, konsultansi & profesional. 

Tambah beliau, kursus-kursus yang ditawarkan menekankan pendekatan amali yang menggunakan alatan-alatan BDA yang terkini untuk memastikan siswazah program ini dapat menjadi profesional dan pengamal BDA yang berkesan.

“Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan bilangan permohonan yang tinggi pada setiap semester dan ketika ini, 195 orang pelajar sedang mengikuti program ini. Kebanyakan pelajar yang mendaftar adalah ahli profesional yang bekerja di sekitar Pulau Pinang,” ujar beliau.

Antara kisah kejayaan program ini adalah kemenangan pelajar dalam pelbagai pertandingan semasa mengikuti pengajian mereka, termasuk kemenangan berprestij dua pasukan USM dalam pertandingan UNIMAKER 2018 sebagai juara dan naib juara dengan inovasi masing-masing, ‘Farmlogy: Precision Farming with IoT and AI’ dan ‘Intelligent and Responsive Imaging System (IRIS)’.

Untuk melonjakkan lagi bidang ini, Pusat Pengajian Sains Komputer juga bermula pada sesi akademik 2019/2020 ini menawarkan elektif bidang dalam bidang Sistem Cerdas & Analitik Data untuk kurikulum baharu Sarjana Muda Sains Komputer dan pakej minor Analitik Data Gunaan untuk pelajar pusat pengajian lain.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1319

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024